SAC 2020: Selangor Mula Langkah Kanan, Ganyang Persib Bandung 3-0

Perlawanan pertama Selangor dalam saingan Selangor Asia Challenge (SAC) 2020 dimulakan dengan penuh bergaya selepas berjaya menundukkan wakil dari Indonesia, Persib Bandung dengan keputusan 3-0 di Stadium Shah Alam.

Tiga gol pada separuh masa pertama oleh Taylor Reegan, Sandro Da Silva dan Syahmi Safari sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan buat skuad kendalian B. Sathianathan itu.

Untuk kesebelasan utama, di bahagian pertahanan, ketua pasukan Taylor Reegan bergandingan dengan K. Prabakaran dan diapit oleh Syahmi Safari dan M. Tamilmaran, sementara Farizal Harun pula ditugaskan sebagai benteng terakhir pasukan.

Brendan Gan, Abdul Halim Saari dan Sandro Da Silva membentuk bahagian tengah bertiga. Syazwan Zainon dan Wan Zack Haikal pula di bahagian sayap bersama penyerang tunggal Ifedayo Olusegun.

Seawal minit kelima, Selangor sudah mendapat peluang keemasan apabila Brendan Gan yang bergerak ke bahagian kanan membuat hantaran lintang kepada Syazwan Zainon yang merembat tepat ke arah gol, namun penjaga gol Persib Dhika Bhayangkara berjaya menepis bola keluar. Percubaan susulan dari Sandro pula terkena tiang dan bola segara dikeluarkan pemain pertahanan pasukan pelawat.

Selangor akhirnya berjaya mendahului perlawanan pada minit ke-10 hasil rembatan Taylor Reegan dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Sandro yang membuat gerakan bermula dari sepakan penjuru.

Memasuki minit ke-27, bermula dengan hantaran jauh Brendan Gan dari tengah padang kepada Syazwan Zainon di bahagian kiri, pemain sayap itu membuat hantaran lintang kepada Ifedayo yang kemudian menyungkit bola menewaskan penjaga gol, namun pemain pertahanan Persib, Indra Mustafa berjaya mengeluarkan bola di atas garisan gol.

Sandro Da Silva kemudian menggandakan kelebihan Selangor pada minit ke-41 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti yang menuju tepat ke penjuru kiri gawang pasukan perlawat.

Cuaca hujan lebat tidak menghalang Syahmi Safari untuk menggamatkan suasana di stadium dengan menyumbat gol ketiga Selangor seminit sebelum tamat separuh masa pertama menerusi penyudah rembatan leret menewaskan Dhika.

Bermula babak kedua, Sathianathan masih mengekalkan kesebelasan utama pasukan. Namun Persib Bandung dilihat bermain lebih kemas selepas memasukkan Gian Zola menggantikan Ghazali Muharam Siregar.

Pada minit ke-55, empat pemain dibawa masuk iaitu Safwan Baharudin, Nick Swirad, Sean Selvaraj dan Mukhairi Ajmal mengeluarkan Halim Saari, Wan Zack Haikal, Sandro serta Thamilmaran. Lima minit kemudian K. Sarkunan pula dibawa masuk menggantikan Brendan Gan.

Persib mendapat peluang peluang pada minit ke-78 dengan Dani Oktavianto yang membuat larian di sebelah kanan telah melintangkan bola kepada Joel Vinicius yang menunggu di hadapan gol, namun tandukan penyerang dari Brazil itu meliar di atas gawang pasukan tuan rumah.

Selangor membuat pertukaran semua pemain dengan A. Namathevan, Azrin Afi Rusmini, Anwar Ibrahim, Ashmawi Md Yakin, Zahri Azri Zabri serta Khairul Azhan Mohd Khalid dibawa masuk menggantikan Syazwan Zainon, Prabakaran, Syahmi Safari, Taylor Reegan, Ifedayo dan Farizal Harun.

Tujuh minit sebelum tamat permainan, Selangor mendapat satu lagi peluang apabila umpanan Anwar Ibrahim sekadar melintang di depan garisan gol tanpa disambar pemain Selangor yang lain.

Beberapa saat sebelum wisel penamat dituip pengadil, Sean Selvaraj membuat percubaan dari sebelah kiri, namun berjaya ditangkap kemas penjaga gol gantian Persib, Muchamad Aqil Saviq.

Tamat perlawanan, Selangor mendapat kemenangan pertama yang diperlukan pada malam ini di hadapan 14 ribu penyokong dan akan berdepan True Bangkok United dalam perlawanan seterusnya pada Ahad.

Kredit Foto: FA Selangor

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN