Sabah Cari Ketua Jurulatih Baharu Ganti Jelius Ating

Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang baru sahaja selesai mengadakan kongres tahunan mereka pada Rabu telah mengesahkan kini pasukan mereka sedang dalam proses pencarian ketua jurulatih dan pemain import baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia untuk musim hadapan.

Ianya berikutan jurulatih sedia ada, Jelius Ating tidak memiliki lesen pro AFC yang merupakan syarat wajib bagi ketua jurulatih bagi mengendalikan pasukan Liga Super.

“Jelius tidak dapat mengendalikan Sabah pada musim hadapan kerana beliau tidak mempunyai lesen kejurulatihan ‘AFC Pro License’ seperti yang disyaratkan.

Oleh itu kita akan mengambil jurulatih luar yang mempunyai lesen berkenaan dan Jelius akan menjadi penolong jurulatih dan dalam masa yang sama beliau akan mengikuti kursus untuk mendapatkan ‘AFC Pro License’,”

“Kita juga sudah senaraikan beberapa pemain termasuk pemain import yang bakal memperkuatkan skuad Tambadau ini dan apabila tiba masanya kita akan umumkan,” kata Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony kepada Bernama.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah telah dipilih sebagai presiden untuk penggal 2019-2022 juga telah merancang beberapa pembaharuan untuk merancakkan pembangunan bola sepak di negeri di bawah bayu itu.

Antaranya adalah projek pembangunan bakat-bakat muda di setiap daerah bermula seawal tujuh tahun untuk menjadi pemain pelapis pada masa akan datang.

“Geran yang SAFA dapat dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau MFL juga akan digunakan untuk pembangunan di peringkat akar umbi.”

“Kita akan pastikan setiap SAFA daerah dapat memainkan peranan masing-masing dengan membuat perancangan membangunkan bola sepak di kawasan masing-masing termasuk menganjurkan beberapa kejohanan dan akan ada peruntukan diberikan untuk melaksanakannya,” katanya.

Selain itu, SAFA juga merancang untuk menambah baik kualiti pengadil di bawah kelolaan persatuan itu dengan melaksanakan beberapa program. Ianya penting agar setiap kejohanan bola sepak yang dianjurkan mendapat khidmat pengadil yang cekap dan profesional.

“Pada tahun hadapan SAFA merancang untuk menganjurkan beberapa kejohanan yang turut disertai pasukan dari Brunei, Kalimantan, Labuan dan Sarawak. Oleh itu kita mahu pengadil yang ada di negeri ini dapat mengadili kejohanan berkenaan secara baik dan profesional untuk mengelakkan sebarang masalah.”

Peter sebelum ini mula memangku jawatan Presiden SAFA pada Disember 2018 setelah Alijus Sipil melepaskan jawatan. Beliau kemudiannya telah melakukan beberapa perubahan dalam pasukan.

Tetapi satu perubahan yang tidak disenangi dan mendapat kecaman penyokong Sabah adalah  perubahan warna jersi utama kepada warna putih sedangkan warna tradisi sejak sekian lama adalah merah.

Pemilihan warna putih itu kononnya berkait dengan Parti Warisan Sabah yang mana Peter merupakan Naib Presiden parti tersebut.

Selain itu, timbul juga lain seperti isu menukar maskot daripada badak kepada tambadau atau seladang serta larangan membawa alatan muzik atau gendang ke stadium juga menyebabkan penyokong semakin meluat dengan kepimpinannya.

Namun demikian, kejayaan merangkul kejuaraan Liga Perdana sekaligus dipromosi ke saingan Liga Super untuk musim hadapan mungkin telah menenggelamkan segala isu yang dianggap picisan oleh pimpinan persatuan berkenaan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN