Quantcast

LIGA MALAYSIA

Mat Sabu Dilantik Sebagai Penasihat KAFA

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil langkah drastik selepas melantik Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Tuan Haji Mohamad Sabu (Mat Sabu) sebagai penasihat persatuan tersebut.

Menurut sumber laman Facebook Kelantan FA, pelantikan Mohamad Sabu itu berkuatkuasa 16 Oktober 2019 [semalam] susulan persetujuan yang dimeterai ketika kunjungan hormat Presiden KAFA, Dato Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah di Wisma Kementerian Pertahanan.

“Bagi pihak KAFA, kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri Pertahanan di atas kesudian beliau menerima pelantikan sebagai penasihat persatuan ini.

“Beliau akan bertindak selaku penasihat persatuan tetapi tidak mencampuri urusan Majlis Penasihat KAFA yang diwujudkan tiga bulan lalu dan berfungsi sebagai sokongan ke atas usaha menambah baik bola sepak Kelantan,” ujar Dato Haji Wan Abdul Rahim.

Dalam perkembangan lain, Presiden KAFA yang dilantik pada awal Julai lalu itu kini semakin serius dalam menyelesaikan perkara berbangkit terutamanya berkenaan hutang yang melanda pasukan tersebut.

KAFA dilaporkan telah menjelaskan sebahagian hutang membabitkan tunggakan bayaran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).