Saat KFA Cari Penaja, Datuk Aliff Syukri Luah Hasrat Mahu Beli Kedah

Aliff Syukri Kedah

Pengasas syarikat kosmetik terkenal negara, D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman sekali lagi menyatakan minatnya untuk bersama Kedah.

Menurut laporan Harian Metro, Aliff Syukri dipetik berkata yang kali ini jika boleh beliau mahu menjadi pemilik Kedah, tidak seperti ketika musim 2016 lalu, beliau hampir memberikan penajaan buat Helang Merah yang dikatakan bernilai RM30 juta.

Kedah ada pengaruh sangat kuat

Sebagaimana ketetapan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semua pasukan di Liga Malaysia (Liga M) akan menuju kepada penswastaan bermula pada musim 2021. Oleh yang demikian, niat untuk menjadi pemilik mungkin paling tepat ketika ini.

Menurutnya lagi, Kedah dipilih kerana merupakan negeri kelahiran isterinya selain memiliki fanbase yang ramai dan berpengaruh. Selain Kedah, beliau juga sedang mempertimbangkan pasukan lain dengan kriteria utama adalah tentunya fanbase.

“Setakat ini saya masih memilih pasukan bola sepak yang paling kuat dan paling berpengaruh. Kalau boleh nak [beli] pasukan Kedah. Kalau Johor [Johor Darul Ta’zim] memang tak mampu. Rasanya itu saja yang ada pengaruh sangat kuat,” katanya.

Pada musim 2016 yang lalu, seiring dengan penajaan Datuk Seri Vida menerusi Vida Beauty kepada Kelantan, Aliff Syukri juga berusaha untuk menaja Kedah, namun gagal direalisasikan akibat masalah permintaan yang sukar dipenuhi oleh pihak KFA.

Dalam perbincangan?

Dalam pertemuan Menteri Besar yang juga merupakan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bersama pasukan Liga Super Kedah malam tadi, Muhammad Sanusi Md Nor ada memaklumkan sedang berusaha keras mencari penaja baharu Kedah.

Dan menurutnya lagi, pihaknya sudah bertemu dengan penaja-penaja yang berpotensi untuk menyelamatkan pasukan. “Saya telah bertemu dengan beberapa pihak dan insyaAllah mereka akan tampil dengan proposal-proposal baharu,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut menegaskan, “Saya tidak akan keluar daripada musim ini dengan mengheret hutang, insyaAllah.” Sanusi juga berkata yang sebahagian tunggakan gaji dengan bayaran gaji bagi Julai telah dimasukkan ke akaun para pemain.

Adakah Aliff Syukri turut terlibat dalam perbincangan bersama penaja tersebut? Jika dilihat ia berkemungkinan, namun, beliau lebih berminat untuk menjadi pemilik.

Penutup

Mungkin perkara itu boleh dibincangkan untuk saingan musim akan datang. Apa yang penting ketika ini adalah tunggakan gaji musim ini. Menurut Sanusi, penaja sebelum ini akan cuba untuk menyelesaikan penajaan yang telah dijanjikan dahulu.

Jika penswastaan berjalan lancar, mungkin Aliff Syukri boleh berbincang bersama Presiden KFA, bagaimana untuk merealisasikan impiannya itu.

KREDIT FEATURED IMAGE: FACEBOOK ALIFF SYUKRI TERLAJAK LARIS

Baca lagi artikel mengenai Kedah FA:

Leave a Reply