Gaji Julai Selesai, KFA Jamin Tiada Lagi Tunggakan Di Masa Hadapan

Sanusi Kedah FA Gaji

Selama lima bulan penantian yang penuh penyiksaan, pemain dan pegawai pasukan Kedah akhirnya menerima sedikit berita gembira apabila pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) membuat pembayaran gaji penuh untuk bulan Julai.

Memetik laporan Bernama, Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor dalam kenyataan sidang media yang diadadakan di kediaman rasminya memberi jaminan pihaknya akan berusaha untuk menyelesaikan baki bayaran gaji yang telah tertunggak sejak Mac lalu.

“KFA telah menyelesaikan sebahagian tunggakan gaji dengan bayaran gaji bagi Julai telah dimasukkan ke akaun mereka, hari ini (semalam). Saya beri jaminan bahawa semua masalah ini akan diselesaikan pada musim ini. Itu adalah janji saya.

“Saya juga telah membuat rundingan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi menyusun semula jadual pembayaran caruman mereka yang tertunggak sejak 2019,” kata ADUN Jeneri itu.

Sanusi turut menjelaskan pihaknya akan terus mencari penaja dan penyumbang baharu yang boleh menampung perbelanjaan pasukan memandangkan penaja sedia ada belum melunaskan jumlah penajaan yang telah dipersetujui dalam kontrak.

Menurutnya, syarikat-syarikat tersebut mengalami impak kewangan dan tidak mampu membuat pembayaran penajaan penuh akibat pendemik dan pelaksanaan PKP.

Dalam pada itu, kapten pasukan Baddrod Bakhtiar memuji sikap Menteri Besar Kedah itu yang disifatkan sebagai orang yang tidak banyak bercakap tetapi fokus kepada tugasan untuk menyelesaikan masalah.

Mewakili barisan pemain, beliau berterima kasih kepada pihak persatuan di atas usaha yang dilakukan untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji sekaligus menyuntik semangat pemain skuad Lang Merah untuk mengharungi baki saingan Liga-M yang akan bersambung tidak lama lagi.

“Mengenai rundingan bersama KFA berhubung beberapa perkara, kami sentiasa terbuka dan akan lihat bagaimana rundingan itu nanti,” katanya.

Jurulatih Kedah, Aidi Sharin Sahak pula berharap isu gaji ini dapat diselesaikan secepat mungkin agar anak buahnya dapat memberi fokus kepada perlawanan akan datang.

Kredit Foto: Kedah FA

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan pasukan Kedah:

Leave a Reply