Bakat baharu Malaysia di Sukan SEA 2023, Fergus Tierney nampaknya bukan satu-satunya ahli keluarganya yang terlibat dalam dunia bola sepak.
Kini bermain bersama Johor Darul Ta’zim II di Piala MFL 2023, Tierney merupakan anak kepada bekas pemain bola sepak di kancah Liga Malaysia di era 90-an iaitu Martin Tierney. Malah, kedua-dua kakaknya juga aktif terlibat dalam bola sepak bersama akademi diuruskan bapa mereka.
Murron dan Grear Tierney dilihat sedang menyertai Kursus Kejurulatihan Lesen D anjuran Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) ketika ini.
Kursus tersebut telah berlangsung dari 2 hingga 7 Mei 2023 bertempat di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang melibatkan 27 peserta.
@murron_tierney Repost bc tiktok removed the sound 😭
Keluarga Tierney dikatakan sudah lama bermaustatin di Pulau Pinang sejak kembali ke Malaysia dan pernah memiliki gelanggang futsal berdekatan Gurney. Malah, bapanya mengendalikan sebuah akademi swasta, Soccer Experince FC yang turut disertai Tierney sejak dari usia mudanya.
Keluarga mereka ketika ini menetap di Tanjong Tokong, Pulau Pinang.
Dari situlah beliau meraih pengalaman bermain bola sepak antarabangsa melalui perlawanan-perlawanan menentang akademi-akademi bola sepak antarabangsa yang lain di seluruh eropah antaranya skuad remaja Atletico Madrid, CA Osasuna Cantera, Levante, CD Tenerife dan Rangers FC.
Pendedahan awal di peringkat tertinggi turut menyaksikan pemain ini pernah diundang berlatih bersama akademi kelab Premier League seperti Sunderland dan Leicester City, selain kelab Scotland, Dundee FC.
Sebelum menyertai JDT, Tierney menyertai sesi latihan Penang pasca Covid-19 ketika di usia 18 tahun. Namun, ia hanyalah sekadar sesi latihan.
Pada awal 2022, beliau akhirnya dikatakan menandatangani kontrak bersama JDT dan memenangi kejuaraan Liga Premier pada musim tersebut. Namun, hasil semakan data Malaysian Football League (MFL) musim 2022, tiada namanya tersenarai dan bermain bersama mereka.
Hanya musim ini di pentas Piala MFL, kelibat Tierney mula kelihatan.
Malah, beliau pantas mendapat perhatian pengendali skuad B-22 negara, E Elavarasan apabila dipanggil menyertai skuad Merlion Cup dan Sukan SEA.
Beliau mencipta satu gol di Merlion Cup ketika membenam Kemboja 4-2.
https://www.youtube.com/watch?v=4nZY3uiXIFM
Atas prestasi baiknya, Elavarasan memanggilnya tampil di pentas Sukan SEA 2023 dan hampir meledak gol ketika mengatasi Laos 5-1, baru-baru ini.
Mungkin keserasiannya bersama rakan sepasukan memberikan kelebihan buat dirinya untuk dipilih bersama Harimau Muda. Beliau pernah berkata yang rakan-rakan sepasukan sangat mengalu-alukan dirinya ke dalam pasukan walaupun beliau baru sahaja menyertai skuad tersebut.
Malaysia akan turun menentang Thailand untuk aksi kedua Kumpulan B, Sukan SEA 2023 pada esok petang dan adakah Tierney akan diturunkan dalam kesebelasan utama? Jika tidak pun, impak kemasukannya seperti ketika berdepan Laos pasti mahu ditagih Elavarasan sekali lagi esok.