Bekas pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak dilihat sedang bercuti di luar negara dan dalam salah satu posting yang dimuat naiknya semalam, ada yang menarik perhatian, beliau dilihat bersama Salt Bae.
Memuat naik posting di Instagramnya, Aidil dilihat menampilkan individu yang sedang hangat dikritik seantero dunia, Salt Bae atas ketelanjurannya saat Argentina menjulang trofi Piala Dunia 2022 di Qatar, baru-baru ini.
Titip Aidil di Instagramnya sambil memuat naik video dan gambar aksi Salt Bae ketika melayan keluarganya di restoran miliknya, “Alhamdulillah, bersyukur dapat bertemu pemilik restoran dan makan tengahari di Nusr-et.”
Tidak pasti sama ada Aidil sengaja memuat naik posting tersebut sekadar untuk menyertai ‘hype’ yang telah dicipta oleh Salt Bae di Piala Dunia.
Di saat beliau dihentam, dicerca dan sedang disiasat oleh FIFA atas insiden di Qatar tempohari, beliau tampak masih tenang melayan pelanggannya.
Salt Bae juga dilihat sempat menyuap makanan yang dihidangkan kepada anak bekas pengendali Kedah selama empat musim bermula pada 2019.
Aidil sehingga kini masih belum mendedahkan lagi hala tujunya selepas meninggalkan Kedah pada penghujung musim lalu dan mengambil masa untuk membawa keluarganya untuk bercuti ke luar negara pada ketika ini.
Bersama Kedah, pengendali berusia 45 tahun itu meraih gelaran Piala FA 2019 selain memimpin mereka ke Piala AFC dan kelayakan AFC Champions League (ACL). Kedah juga meraih naib juara Liga Super 2020 dan 2021.
Kembali kepada kisah Salt Bae, tidak dapat dipastikan sejauh mana FIFA akan menyiasat insiden beliau – hanya seorang cef selebriti boleh berada bersama pemain Argentina meraikan kejuaraan di tengah padang di Qatar.
Bahkan, beliau dilihat mengganggu sebahagian pemain ketika itu antaranya Lionel Messi yang tampak jelas kurang selesa dengan si penabur garam itu.
Tambah menarik apabila Presiden FIFA, Gianni Infantino dikesan pernah dilihat bersama Salt Bae dan kini sedang cuba menjauhinya dengan ‘unfollow’ akaun pemilik restoran di Dubai itu di media sosial, Instagram.
FIFA president Gianni Infantino 'unfollows' Salt Bae on Instagram in a desperate attempt to distance himself from this 🤡… too late for that!
pic.twitter.com/MoZxBZ3b8M— Kevin Palmer 💙 (@RealKevinPalmer) December 23, 2022
Jika tiada ekses daripada pihak penganjur, mana mungkin beliau boleh turun tanpa sebarang halangan. Malah beliau turut memegang dan mengucup Piala Dunia, satu tindakan yang mengundang kemarahan pemain-pemain bola sepak dunia terutamanya. Beliau bukan pemain atau barisan kejurulatihan Argentina – yang lebih berhak meraikannya.
Mungkin risau insiden yang sama berulang, Salt Bae turut dihalang oleh penganjur US Open Cup untuk menghadiri kejohanan bola sepak tertua di Amerika Syarikat tersebut yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2023.