Kata orang, menjadi pemain bola sepak itu adalah satu pekerjaan yang terindah di dunia.
Namun begitu, hakikatnya tidak selalu indah. Dalam setiap pekerjaan yang dilakukan di dunia ini, ada saja cabaran yang menanti.
Tidak kira sama ada anda adalah peniaga pisang goreng, doktor pakar atau penulis seperti kami di Semuanya BOLA. Ada saja cabaran dalam setiap pekerjaan.
Begitu juga dengan pemain bola sepak, mereka juga ada tekanan yang perlu dihadapi.
Seperti contoh, Ryan Giggs.
Kita semua tahu beliau adalah pemain yang cukup teguh mengabdikan diri kepada Manchester United, beliau habiskan seluruh karier beliau di situ sejak dari zaman akademi hinggalah ke era kejurulatihan.
Sejak kecil, pemain bola sepak sudah terbiasa dengan corak kehidupan yang cukup disiplin dan perlu dipatuhi sepanjang karier mereka.
Jadi apabila mereka terpaksa mengubah corak hidup mereka pasti ia mengambil masa untuk biasa dengan kehidupan corak baharu.
Untuk situasi Giggs, beliau perlu mencari jalan untuk membiasakan diri selepas 28 tahun bersama Manchester United.
“Saya perlu berjumpa dengan pakar psikiatri selepas tinggalkan Manchester United. Hal ini kerana saya perlu betulkan mentaliti diri saya untuk hadapi kehidupan selepas Manchester United.”
Untuk membiasakan diri dengan kehidupan baharu, pakar psikiatri tersebut telah mencadangkan Giggs untuk sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti.
Hasilnya, Giggs pergi ke EURO 2016 sebagai penganalisis dan ke India sebagai pemain jemputan dalam kejohanan futsal di sana.
Masalah mental dalam dunia bola sepak terutamanya di England semakin membimbangkan. Terbaharu, Aaron Lennon menjadi mangsa kepada masalah ini.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger juga turut risau dengan perkara ini. Hal ini kerana beliau sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupannya selepas bersara menjadi pengurus.
Itu juga merupakan tanda yang beliau tidak lagi bersedia untuk meninggalkan dunia bola sepak walaupun usianya sudah semakin tua.
Bagi Giggs, gaji yang tinggi dan juga gaya hidup mewah bukannya tanda pemain bola sepak bebas dari tekanan kerja.
“Gaji yang tinggi dan kereta mewah bukan tandanya kami ini bebas dari tekanan.”
“Kami tetap terdedah dengan pelbagai isu dalam kerjaya kami.”
“Kadangkala kami terpaksa melayan permintaan 30 peminat untuk dapatkan autograf kami. Ada juga yang minta kami untuk berswafoto bersama.”
“Jadi jika kami tolak, ia akan hasilkan tekanan kerana penyokong akan kata kami sombong.”
Tekanan melibatkan pemain bola sepak hadir apabila mereka menghadapi sesuatu yang buruk. Kecederaan misalnya.
“Saya pernah berjumpa pakar psikiatri selepas alami kecederaan teruk. Ia perlu untuk membantu kita yang kecewa selepas cedera kembali bermain dengan baik selepas pulih.”
Walaupun begitu, Giggs sedar yang di dunia ini adalah pekerjaan lebih mencabar dari sekadar menendang bola.
“Pekerjaan seperti ahli bomba, jururawat, doktor dan pegawai polis adalah jauh lebih sukar dari menjadi pemain bola. Jadi saya selalu menghormati pekerjaan mereka.”
Kini, Giggs sudah mula menikmati kehidupan beliau pasca Manchester United. Beliau semakin seronok menikmati masa bersama anak-anak beliau, hantar dan ambil mereka dari sekolah dan sebagainya.
Beliau juga teruja untuk menonton aksi anak beliau ketika di padang.
Harus diingat, tiada pekerjaan di dunia ini yang tiada tekanan hatta perkerjaan yang memerlukan kita bermain permainan yang kita suka iaitu bola sepak.
Kami pasti para pembaca Semuanya BOLA berasal dari dunia pekerjaan yang berbeza-beza dan ada juga yang masih belajar.
Diharap kita semua dapat mengawal tekanan yang kita hadapi dalam pekerjaan dan hidup kita dengan baik.
Baca juga: Lionel Messi Biayai Pembinaan 20 Bilik Darjah Untuk Kanak-Kanak Syria