Legenda Manchester United, Ryan Giggs menganggap prestasi terkini Liverpool sebagai mengerukan sambil menekankan kelab Merseyside itu sebagai berpotensi untuk muncul juara pada musim ini.
Skuad kendalian Jurgen Klopp itu mencatatkan permulaan sempurna buat Liverpool setakat ini dalam saingan liga selepas enam perlawanan.
Giggs yang memiliki 13 kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Manchester United bagaimanapun berkata kaedah pasukan itu mencatatkan kemenangan dengan pelbagai cara adalah aset penting Liverpool.
“Mereka mempunyai pemain yang sudah beraksi bersama selama beberapa tahun. Kemudian tampil beberapa pemain muda ke dalam pasukan beraksi dengan beberapa pemain berpengalaman seperti Jordan Henderso dan James Milner. Itu adalah gabungan kumpulan pemain yang baik,” ujar Giggs kepada Sky Sports.
“Liverpool tidak beraksi cukup baik dalam beberapa perlawanan, namun masih mampu menghasilkan keputusan yang dikehendaki.
“Itu adalah perkara yang menggerunkan apabila sesebuah pasukan mampu menang sedemikian. Itu adalah rentak dan prestasi pasukan yang mampu bergelar juara.
“Mereka bukan sahaja mampu menjaringkan tiga sehingga empat gol dalam perlawanan. Lebih dari itu, mereka tahu bagaimana untuk mendapatkan keputusan dalam perlawanan sukar,” jelas pemain sayap yang kini adalah pengurus Wales.
Giggs turut berpendapat kemampuan Manchester City turut berada setaraf dengan Liverpool untuk peluang bergelar juara pada hujung musim.
Giggs turut memilih Chelsea sebagai pilihan ketiga untuk bersama-sama bersaing di dalam kempen musim ini.
“Ia seperti Manchester City vs Liverpool untuk berebut kejuaraan. Tetapi anda tidak boleh memadam peluang Chelsea, kerana mereka juga beraksi dengan baik ketika ini.
“Dua musim lalu mereka adalah juara, dan Chelsea masih memiliki kumpulan pemain yang sama di dalam pasukan itu. Liverpool mungkin tidak memiliki aspek pengalaman seperti Chelsea dan City, tetapi prestasi semasa mereka amat baik.
Namun ketika ditanya siapakah pilihan utama beliau di antara Manchester City dan Liverpool, ini jawapan Giggs:
“Saya masih berpendapat Manchester City mempunyai sedkit kelebihan kerana adanya Pep Guardiola. Ianya kebiasaan bagi Guardiola untuk menjuarai liga secara berturut-turut.
“Mereka juga mempunyai pemain berkualiti dan tahu bagaimana untuk mengejar kejuaraan,” jawab Giggs.