Rusia mempunyai seramai 34 orang pemain bola sepak yang telah disenaraikan sebagai inidividu yang dikehendaki (people of interest) dalam satu laporan membabitkan 30 acara sukan oleh Agensi Anti Doping Sedunia (WADA).
Kesemua 23 pemain bola sepak kebangsaan Rusia yang ke Brazil untuk kejohanan Piala Dunia 2014 turut berada di dalam senarai tersebut.
Perkara ini didedahkan oleh akhbar ‘The Mail’ pada awal pagi tadi.
“FIFA masih lagi melakukan siasatan berhubung dakwaan yang telah dibuat ke atas pasukan Rusia,” kata jurucakap FIFA seperti yang dipetik dari akhbar berkenaan.
Empat daripada anggota Piala Dunia 2014 tersebut iaitu penjaga gol Igor Akinfeev, Denis Glushakov, Maksim Kanunnikov dan juga Aleksandr Samedov berada di dalam skuad Piala Konfederasi yang sedang berlangsung di negara berkenaan.
Rusia bagaimanapun telah tersingkir daripada kejohanan tersebut selepas kekalahan terbaru menentang Mexico.
Pemain ke-5 yang turut terlibat di dalam skandal doping ini adalah bekas bintang pasukan Chelsea, Yuri Zhirkov.
Rusia akan menganjurkan Piala Dunia pada tahun hadapan. Laporan sebegini merupakan perkara yang cuba dielakkan daripada berlaku.
Ia pasti akan menyelubungi penganjuran tersebut dan merencatkan perkembangan bola sepak di Rusia untuk tempoh jangka masa yang panjang.
Sehingga artikel ini ditulis, belum ada bukti yang jelas mengatakan kesalahan doping telah dilakukan.
Bekas pengerusi WADA, Richard Pound menegaskan FIFA mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memberikan jawapan yang wajar kepada semua pihak sebelum Piala Dunia pada tahun hadapan bermula.
“Adalah tanggungjawab FIFA untuk menyatakan kepada dunia apakah langkah yang mereka telah ambil, apa yang telah mereka jumpa dan apakah tindakan yang sewajarnya untuk memastikan integriti di dalam bola sepak.”
“Terdapat banyak penafian di dalam bola sepak selama bertahun lamanya. Saya telah menghadiri banyak persidangan antarabangsa anjuran FIFA.”
“Saya melihat bagaimana mereka cuba menafikan bola sepak sebagai sukan yang tidak mempunyai masalah.”
“Jelas sekarang FIFA perlu ambil serius akan isu ini,” jelas Richard Pound kepada wartawan The Mail.
Masalah doping bukanlah perkara baru di alam arena sukan di Rusia. Namun ini adalah kes seumpamanya yang dilapor membabitkan pemain bola sepak.
Sumber:
1. Martha Kelner, The Guardian: Russia’s entire 2014 World Cup squad face Fifa doping investigation;
https://www.theguardian.com/football/2017/jun/24/russia-2014-world-cup-squad-fifa-doping-investigation
2. NICK HARRIS, Daily Mail (2017): Russia investigated over doping allegations at 2014 World Cup… FIFA are in fantasy land if they don’t think there is a problem, claims Dick Pound;
http://www.dailymail.co.uk/sport/sportsnews/article-4636186/Russia-investigated-doping-claims-2014-World-Cup.html