Selepas mencatat kemenangan bergaya ketika menumpaskan Arab Saudi, 5-0 dalam aksi pembuka tirai Kumpulan A, Piala Dunia Khamis lalu, pasukan tuan rumah Rusia bakal berdepan lalu sukar bertemu Mesir di Stadium Saint Petersburg awal pagi Rabu.
Bahkan cabaran lebih sengit bakal menanti mereka dengan kehadiran penyerang berbisa The Pharaohs, Mohamed Salah yang dikatakan kembali cergas daripada kecederaan bahu kirinya ketika final Liga Juara-Juara tiga minggu lalu.
Mo Salah is set to feature in the @Pharaohs second #WorldCup game against Russia on Tuesday, the Egyptian Football Association have declared: https://t.co/38Cq6wDfBt pic.twitter.com/YcMNnMnI1N
— Liverpool FC (@LFC) June 16, 2018
Malah bintang Liverpool itu juga dilihat mampu menjadi batu penghalang kepada impian Rusia untuk memburu tiket awal ke pusingan kalah mati Piala Dunia apabila Mesir juga berhasrat mencipta kebangkitan selepas mereka tewas 0-1 kepada Uruguay, Jumaat lalu.
Salah disahkan cergas 100 peratus oleh doktor pasukan Mesir dan ejennya sekaligus memberi isyarat yang dia pastinya diturunkan dalam baki kempen negaranya di Rusia selepas sekadar berada di bangku simpanan pada aksi pertama pasukannya.
Begitupun pemain sayap Rusia, Denis Cheryshev yang muncul wira pasukan ketika menentang Arab Saudi dengan meledakkan dua gol mengakui pertembungan dengan Mesir pasti lebih menarik dengan kehadiran Salah pada tahap kecergasan terbaiknya.
“Jika dia tiada di situ, ia tidak bermakna tugas kami menjadi mudah, sebaliknya jika dia beraksi, ia pastinya akan menjadi sukar dan lebih menarik.
“Dia salah seorang yang terbaik dan anda sentiasa mahu bersaing dengan yang terbaik dan seterusnya menang.” katanya.
Justeru, kem tuan rumah Rusia tidak boleh mengharapkan perlawanan terakhir menentang Uruguay Isnin depan sebagai medan memungut mata tambahan apatah lagi juara dunia dua kali itu diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai saingan peringkat kumpulan.