Juara bertahan, Jerman menerima tamparan hebat selepas kecundang 1-0 pada perlawanan sulung bertemu Mexico semalam.
Aksi dalam kumpulan F itu menyaksikan Hirving Lozano menyumbat gol tunggal perlawanan untuk kemenangan bermakna buat Mexico.
Timo Werner, yang merupakan penyerang Jerman menyifatkan kekalahan tersebut masih belum menutup peluang pasukannya untuk mempertahankan Piala Dunia yang dimenangi di Brazil empat tahun lalu.
”Sudah tentu kami masih boleh memenangi Piala Dunia,” ujar Werner.
”Kami adalah Jerman dan kami mahu untuk memenangi setiap perlawanan. Itu sangat jelas.”
”Perkara seperti ini boleh terjadi, anda boleh tewas pada perlawanan, tetapi sekarang anda perlu untuk bangkit secepat yang mungkin dan mencari penyelesaian terbaik.”
”Lebih baik untuk tewas pada perlawanan pertama berbanding perlawanan keempat atau kelima.”
”Sepanyol tewas perlawanan pertama pada perlawanan saingan Piala Dunia di Afrika Selatan, akhirnya mereka menjadi juara.”
”Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah dengan memenangi perlawanan seterusnya menentang Sweden.”
Dalam pada itu, penyerang yang beraksi untuk RB Leipzig dalam saingan Bundesliga itu turut memuji aksi yang ditampilkan Mexico.
”Mereka mempamerkan aksi yang hebat terutamanya pada separuh masa pertama.”
”Mereka menewaskan kami kerana kami melakukan dua atau tiga kesilapan lebih daripada perlawanan terdahulu.”
”Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan kerana Mexico merupakan pasukan yang hebat.”