Menjelang pertemuan menentang England di suku akhir Piala Dunia sabtu ini, Sweden tekad melakar kejutan untuk memastikan misi ke separuh akhir menjadi kenyataan setelah sekian lama tidak mencipta sejarah dalam bola sepak mereka.
Skuad Sweden menjalani latihan di hotel penginapan mereka di Laut Hitam sebelum bertolak ke Samara untuk bertemu England di peringkat lapan terakhir Piala Dunia buat pertama kali sejak 1994 yang menyaksikan mereka meraih tempat ketiga.
“Apa yang kami boleh lakukan ialah fokus terhadap permainan kami sendiri. Kami sudah membuktikan kepada orang lain dan juga diri kami di mana apabila kami berada di tahap yang betul, kami boleh memberi kesukaran kepada mana-mana pasukan.
“Dan kami tidak merancang untuk melakukan perkara lain ketika berdepan England,” kata pemain tengah, Sebastian Larsson.
Larsson yang menghabiskan kariernya selaku pemain di England dan beraksi bersama beberapa kelab di divisyen utama dan kedua akan kembali ke Sweden musim depan bagi menyertai kelab AIK.
“Ia perlawanan yang saya nantikan, ia adalah suku akhir Piala Dunia dan secara peribadi untuk bersaing menentang England, negara di mana saya menghabiskan karier selama 17 tahun sudah tentu sedikit istimewa.
“Kami perlu menghormati England, mereka memiliki pemain berkualiti di segenap posisi, pasukan yang baik tetapi bagi kami, seperti yang kami sudah lakukan sepanjang kejohanan ini iaitu cuba fokus sepenuhnya terhadap diri kami.”
Selepas menyingkirkan Itali dalam kempen kelayakan ke Russia, Sweden memenangi peringkat kumpulan yang turut diisi juara, Jerman sebelum menewaskan Switzerland di peringkat 16 terakhir.