Kali terakhir England berjaya menjuarai gelaran pertama Piala Dunia pada tahun 1966 ketika kejohanan tersebut diadakan di negara mereka sendiri.
Gelaran itu juga merupakan gelaran tunggal buat mereka. Sejak dari itu, skuad The Three Lion gagal memperoleh kejuaraan dan seringkali gagal dalam setiap kejohanan Piala Dunia yang disertai.
Selepas 52 tahun, skuad England yang dibimbing oleh Gareth Southgate sekali ini tampil dengan misi untuk menamatkan kemarau kejuaraan.
Kegagalan yang dialami mereka dalam beberapa kejohanan sebelum ini menjadikan pasukan Inggeris itu tidak dianggap sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia 2018.
Namun, ia tidak bagi Roberto Carlos. Beliau berpendapat England sebagai salah satu calon yang mampu menjuarai Piala Dunia kali ini.
Bercakap kepada Sunday Mirror, legenda Brazil itu amat teruja melihat perkembangan skuad England hari ini terutama persembahan cemerlang yang dipamerkan bintang muda mereka, Dele Alli.
“England merupakan salah satu pasukan pilihan saya selain Brazil.”
“Sejujurnya saya amat teruja dan kagum melihat persembahan pemain-pemain mereka, terutama Dele Alli. Dia memiliki gaya permainan mirip seperti pemain-pemain yang dimiliki Brazil.”
“Saya menyaksikan persembahannya ketika dia mewakili Tottenham Hotspur menentang Real Madrid di Wembley. Dia menunjukkan prestasi yang positif.”
Tambahnya lagi, “Dia memiliki keberanian dan percaya kepada diri sendiri. Itu kelebihan yang dia ada yang membuatkan beliau dianggap sebagai pemain yang luar biasa.”
Pemain berusia 22 tahun itu telah membuat penampilan sebanyak 25 kali bersama England dan berjaya mencipta dua gol buat pasukan.