Menteri Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, Yang Berhormat (YB) Gobin Singh Deo mencadangkan supaya siaran langsung perlawanan bagi Piala Dunia 2018 Rusia disiarkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menurut laman twitter wartawan Astro Awani, Firdaus Azil, cadangan YB Gobin Singh tersebut bakal dipanjangkan ke mesyuarat Kabinet pada hari Rabu ini.
”Sebagai satu acara antarabangsa, saya rasa penting untuk disiarkan secara langsung oleh RTM sebagai televisyen rasmi kita (kerajaan).”
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas YB Gobin Singh ketika meluangkan masa bagi melawat pejabat RTM dan Bernama sebentar tadi.
https://twitter.com/FirdausAzil/status/1000988477289254912
Sekiranya cadangan yang diusulkan YB Gobin yang juga merupakan Ahli Parlimen Puchong ini diterima, keputusan tersebut bakal menjadi berita gembira terutamanya buat peminat bola sepak yang tidak berkemampuan untuk melanggan siaran televisyen satelit dan berbayar.
Walaupun Malaysia tidak pernah beraksi dalam saingan paling berprestij itu, sambutan hangat tetap diberikan oleh para peminat untuk tidak terlepas bagi menonton aksi bola sepak berkelas dunia yang berlangsung setiap empat tahun itu.
Bagi edisi 2014 di Brazil, stesen televisyen milik kerajaan itu telah mendapat hak penyiaran bagi 35 perlawanan yang melibatkan 24 siaran langsung dan 11 siaran tertunda.
Siaran TV1, TV2 dan Tvi (TV Interaktif) telah menyiarkan aksi menarik mengikut jadual siaran yang telah ditetapkan.
RTM sudah menyiarkan hampir 10 edisi Piala Dunia buat rakyat Malaysia untuk menyaksikan kejohanan bola sepak terulung itu sejak tahun 1974.