Belgium merupakan salah sebuah pasukan yang dicanang sebagai pilihan Piala Dunia 2018 yang bakal memulakan sepak mula di Rusia.
Ini adalah kerana Belgium memiliki deretan pemain berstatus bintang terutamanya yang berkelana bersama kelab-kelab utama Liga Perdana Inggeris (EPL).
Namun sudah 2 edisi major terakhir mereka gagal menepati ramalan dan harapan.
Sejarah pembabitan
Rusia adalah penampilan ke-12 Belgium di pusingan akhir Piala Dunia sejak kejohanan tersebut diperkenalkan.
Bagaimanapun, tumpuan hanya diberikan kepada negara tersebut pada edisi 1982 ketika ianya diadakan di Sepanyol, apabila berjaya melangkah ke pusingan kedua kejohanan.
Sebelum itu, Belgium sering kali terkandas di peringkat kumpulan dalam lima penampilan sebelum itu.
Piala Dunia 1982
Tidak salah untuk kita menggariskan kebangkitan awal Belgium di pentas antarabangsa ialah ketika Piala Dunia 1982.
Bermula dengan baik mengejutkan Argentina 1-0 di Nou Camp, hasil jaringan tunggal Erwin Vandenbergh, Argentina yang turut dibarisi pemain seperti Diego Maradona dan Mario Kempes jelas tidak mempunyai jawapan untuk tentangan Belgium.
Belgium terus cemerlang menewaskan El Salvador dan mengikat Hungary untuk muncul juara kumpulan. Namun demikian, mereka gagal menhadirkan saingan di pusingan kedua kejohanan apabila ditewaskan oleh Poland dan Soviet Union.
Piala Dunia 1986
Piala Dunia 1982 jelas memberi pengalaman berharga buat barisan pemain Belgium pada era tersebut. Edisi empat tahun berikutnya di Mexico menampilkan skuad Belgium yang lebih matang, selepas pengalaman yang dilalui di dalam edisi 1982.
Dibarisi dengan gabungan pemain muda seperti Enzo Scifo, Patrick Vervoort dan Stephane Demol dan beberapa pemain ‘senior’ seperti Ceulemans, Pfaff, Eric Gerets, dan Franky Vercauteren, mereka berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir buat julung kalinya.
Ceulemans merupakan watak penting yang membawa pasukan ini sampai ke tahap itu apabila mencipta jaringan pada perlawanan pusingan kedua bertemu Soviet Union dan Sepanyol di suku akhir.
Bagaimanapun, Argentina yang tersentak dengan kekalahan ke atas Belgium pada edisi 1982, kali ini lebih tampil lebih berwaspada.
Kali ini giliran Argentina pula menjadi badi buat Belgium. Dua jaringan Diego Maradona pada separuh masa kedua di Estadio Azteca, meranapkan impian Belgium untuk mencipta sejarah menjejakkan kaki ke pentas akhir.
Pasca 1986
Selepas edisi 1986, Belgium gagal menhadirkan impak seperti yang diharapkan sebagai sebuah kuasa baru bola sepak dari rantau eropah.
Layak sehingga ke pusingan kedua di edisi 1990, 1994 dan 2002, bola sepak Belgium seperti hilang dari radar selepas itu sehinggalah mereka tampil kembali di dalam kejohanan ini di Brazil pada 2014.
Namun pada 2014, kemaraan Belgium sekali lagi disekat oleh Argentina yang menyingkirkan mereka di peringkat suku akhir hasil jaringan tunggal Gonzalo Higuain dalam perlawanan tersebut.
‘Golden Generation’ Alaf Baru
Pada hari ini, skuad Belgium dianggap sebagai generasi emas. Era ‘Golden Generation’ baru yang lahir sekitar tahun 1985-1996 ini dilihat mampu mengembalikan nostalgia 1986.
Di atas kertas, Belgium adalah pasukan di tangga ketiga di dalam ranking FIFA di belakang Jerman dan Brazil. Kedudukan tersebut adalah indikasi jelas, Belgium telah melakukan banyak perubahan sejak disingkirkan oleh Argentina di kejohanan empat tahun yang lalu.
Nama-nama seperti Kevin De Bruyne, Thibaut Courtois, Marouane Fellaini, Thomas Vermaelen, Eden dan Thorgan Hazard, Vincent Kompany, Dries Mertens, Toby Alderweireld, Axel Witsel dan Romelu Lukaku dilihat mampu memberikan saingan buat Belgium berbanding di Brazil pada 2014.
Edisi Piala Dunia kali ini dianggap edisi yang terakhir untuk skuad emas Belgium ini membuktikan sesuatu.
Apa nasib Belgium?
Adakah skuad kali ini mampu menyamai atau memperbaiki rekod pasukan pada edisi 1986 dengan berbekalkan skuad yang dilihat lebih baik?
Atau hanya sekadar retorik seperti pernah terjadi kepada pasukan England yang pernah memilki skuad emas pada tahun 2002 dan 2006, namun gagal menamatkan penantian kejuaraan sejak tahun 1966?
Seperti skuad 1986, skuad ‘Golden Generation’ alaf baru kendalian Roberto Martinez ini dilihat sudah cukup matang selepas berjaya melangkah ke saingan suku akhir dalam 2 kejohanan besar iaitu Piala Dunia 2014 dan Kejohanan Piala Eropah 2016.
Di atas kertas, Belgium dilihat tidak mempunyai masalah untuk melepasi kumpulan G yang turut dicabar oleh Panama, Tunisia dan England.
Cuma, mereka bakal berhadapan tugas yang getir dan pasti mengundang ujian yang tinggi di peringkat suku akhir apabila dijadualkan bakal bertemu samada pasukan Brazil atau Jerman (sekiranya dua pasukan ini menepati ramalan).
Kesimpulan
Mampukah Belgium akhirnya melakar sejarah baharu dalam pencapaian bola sepak mereka di Rusia?
Atau sekurang-kurangnya menyamai pencapaian mereka 32 tahun yang lalu?
Satu perkara yang pasti ialah, semangat skuad 1986 pasti menjadi pendorong utama buat anggota The Red Devils.