Sweden bakal membuat perhitungan dengan England apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu di suku akhir Piala Dunia 2018 pada Sabtu ini.
Menjelang pertemuan tersebut, bekas penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic mempunyai sedikit tips buat pemain dan jurulatih, Janne Andersson.
Menurut Ibrahimovich, Sweden tidak perlu melakukan sebarang perubahan formasi atau taktikal untuk mencipta kemenangan. Sebaliknya mereka harus mengekalkan emosi bermain dengan tenang dan menyakinkan dalam perlawanan itu nanti.
“Mereka (Sweden) tidak perlu menggubah apa-apa, mereka harus terus bermain seperti biasa seperti apa yang dilakukan sebelum ini.”
“Sebenarnya pasukan lawan sukar untuk menentang Sweden, apatah lagi untuk menjaringkan gol.”
“Jika mereka mampu bertahan, mereka memiliki peluang yang bagus untuk mencipta kemenangan.” ujar Zlatan.
Meskipun menganggap pasukan England sebagai pilihan, Zlatan tetap yakin dengan impak yang akan dilakukan pasukan Sweden untuk mara ke separuh akhir.
Katanya, beliau percaya bahawa Sweden akan dapat menewaskan England jika para pemain dapat mengawal emosi dalam permainan.
“Sekarang, bukan hanya tentang berapa hebatnya permainan anda, tetapi apa yang lebih penting bagaimana para pemain (Sweden) dapat mengawal emosi mereka.”
“Ini adalah perlawanan penting dan merupakan perlawanan peringkat suku akhir Piala Dunia, saya pasti para pemain akan bergelut mengatasi emosi dalam perlawanan itu.”
Tambahnya, “Sesiapa yang mampu mengatasinya dengan baik, maka pemain itu akan mendapat kelebihan.”