Sudah sekian lama perseteruan di antara dua bintang bola sepak dunia, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo diperdebatkan terutamanya ketika mereka menyarung jersi kelab masing-masing.
Dalam pentas antarabangsa, Messi dan Ronaldo masih belum pernah mendakap kejuaraan Piala Dunia.
Messi hampir melakukannya pada saingan empat tahun lalu apabila berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir.
Bagaimanapun kemaraan tersebut dihalang Jerman setelah Mario Gotze menyumbat gol tunggal pada masa tambahan untuk mengecewakan Lionel Messi dan rakan sepasukannya.
Bagi Cristiano Ronaldo pula, kejayaan menduduki tangga keempat dalam saingan Piala Dunia 2006 adalah pencapaian terbaik buat beliau.
Perseteruan menarik kedua-dua personaliti terkenal bola sepak itu membuatkan bekas pemain skuad kebangsaan Australia, Harry Kewell mengimpikan perlawanan akhir edisi 2018 yang menemukan Argentina dan Portugal.
Bercakap kepada Goal, Kewell ternyata teruja untuk melihat pertembungan dua pasukan tersebut di perlawanan akhir yang disifatkannya sebagai pertemuan ‘Messi vs Ronaldo’.
”Saya ingin menyaksikan pertembungan Argentina menentang Portugal di perlawanan akhir. Messi menentang Ronaldo.”
”Saya merasakan ini bakal menjadi kemuncak persaingan mereka kerana mereka bersaing untuk membuktikan siapa yang terbaik di dunia.”
“Saya fikir terdapat banyak pemain yang hebat yang akan muncul di Piala Dunia tahun ini.”
Saingan Piala Dunia 2018 bakal menyaksikan Argentina diletakkan dalam kumpulan D bersama-sama Iceland, Croatia dan Nigeria.
Manakala Portugal pula berada dalam satu kumpulan dengan Sepanyol, Maghribi dan Iran.