Quantcast

BERITA

Terbuka Untuk Bidaan, FA England Cari Pemilik Baharu Stadium Wembley

Disebabkan keuntungan daripada perlawanan bola sepak, konsert dan acara-acara lain sangat kecil, FA England difahamkan akan menjual Stadium Wembley kepada yang berminat.

Sehingga kini, Evening Standard melaporkan hanya terdapat satu bidaan daripada pemilik kelab yang akan kembali ke Liga Premier Inggeris (EPL), Fulham iaitu Shahid Khan.

FA England telah membuka tender untuk pihak lain turut sama membuat bidaan ke atas Wembley dan ini mungkin didorong oleh keinginan untuk dapat satu nilai yang lebih baik.

Pihak FA England juga telah mengarahkan bank penasihat dan pelaburan mereka iaitu NM Rothschild untuk menyatakan kepada pembida yang mereka masih terbuka untuk sebarang tawaran.

Wembley

Foto: Getty Images

Sebagai satu-satunya pembida setakat ini, Shahid Khan yang juga seorang jutawan itu telah menawarkan £600 juta pada bulan lalu kepada FA England untuk mendapatkan Wembley.

£600 juta tersebut akan dibayar secara tunai sementara pihak FA England akan dibenarkan oleh Shahid Khan untuk meneruskan perniagaan hospitaliti mereka, Club Wembley.

Walaubagaimanapun, apa yang dikhuatiri adalah selepas ini Shahid Khan akan mengenakan bayaran sewa kepada FA England sekiranya mereka ingin menggunakannya.

Ini mungkin akan memaksa pihak FA England selepas penjualan Wembley untuk menjadikan stadium-stadium lain di dalam negara sebagai tuan rumah untuk skuad England.

Trend ini dilihat telah bermula pada perlawanan pra Piala Dunia 2018 England menentang Costa Rica baru-baru ini yang dilangsungkan di Elland Road.

Menurut laporan Independent, pada September ini England dijadualkan akan menentang Switzerland di Stadium King Power milik juara EPL musim 2015/16, Leicester City.

Wembley

Foto: talkSPORT

Pada April lalu, Evening Standard telah melaporkan bahawa niat Shahid Khan membeli Wembley adalah bukan untuk kegunaan Fulham tetapi untuk Jacksonville Jaguars.

Selain Fulham, Shahid Khan adalah pemilik kelab bola sepak Amerika, Jacksonville Jaguars dan pihaknya telah menyatakan bahawa pembelian ini lebih bermotifkan untuk Jaguars.

Ada juga yang risau Wembley akan bertukar nama kepada firma-firma Amerika seperti Budweiser atau Taco Bell. Dan jika itu berlaku, ia adalah suatu yang amat janggal.

Pihak kerajaan dan Sports England telah memohon untuk berbincang mengenai perkara ini kerana mereka ingin mengetahui kesan penjualan ini terhadap bola sepak England.

Bagi FA England, hasil penjualan Wembley ini akan membolehkan mereka menyalurkannya kepada pembangunan akar umbi serta penambahbaikkan permukaan rumput sedia ada.

Kami perlukan bantuan anda.

Saban hari, semakin ramai peminat bola sepak membaca Semuanya BOLA. Seiring dengan pertambahan pembaca ini, kos operasi kami turut meningkat. Jadi anda boleh nampak kenapa kami perlukan bantuan anda. Untuk memastikan penulis-penulis kami dapat terus membekalkan konten-konten yang tidak bias dan berkualiti kepada anda, duit dan kerja keras sangat diperlukan. Tetapi kami buat juga kerana kami percaya anda berhak mendapat maklumat berkualiti dari media yang telus, bebas dan terbuka.

Sumbangan anda membolehkan masa depan penulis-penulis kami terus terjamin. Dengan hanya RM5, anda boleh menyokong Semuanya BOLA - dan ia hanya mengambil masa 1 minit. Terima kasih.

atau Beri Sumbangan

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!