Kerisauan yang melanda kem Brazil selepas bintang utama, Neymar mengalami kecederaan retak tulang metatarsal dan juga cedera di bahagian buku lali kini boleh dikatakan sudah reda.
Hal ini kerana Neymar yang mengalami kecederaan pada perlawanan bertemu Marseille bulan Februari lalu sudah semakin menunjukkan reaksi yang positif dalam sesi latihan skuad kebangsaan.
Perkembangan positif pemain termahal dunia itu dikongsikan rakan sepasukan yang beraksi buat pasukan Manchester City, Fernandinho.
Fernandinho yang sebelum ini turut pernah mengalami kecederaan yang sama seperti Neymar berkata rakannya itu berada di landasan terbaik untuk menggalas tanggungjawab dalam Piala Dunia nanti.
”Kecederaan yang dialami Neymar ini agak sedikit sukar, saya boleh mengatakan seperti itu kerana saya juga turut pernah mengalaminya. Ia sakit sekarang dan prosesnya agak rumit.”
”Tetapi apabila anda menyaksikan pergerakan yang dilakukannya ketika sesi latihan, cara dia berlatih, saya melihat dia semakin baik dan kembali mendapatkan keyakinannya. Itu sangat penting.”
”Dia sangat berani, cuba untuk menggelecek pemain pertahanan, dia tidak takut.”
”Itu adalah langkah pertama buatnya untuk kembali menjadi 100 peratus yakin. Dan kami mahu dia cergas sepenuhnya secepat yang mungkin, sehingga perlawanan pertama kami di Piala Dunia.”
”Saya tidak ragu-ragu dia merupakan pemain yang akan membuat perbezaan yang besar terhadap pasukan kami.”
Menjelang aksi di Rusia, gergasi Amerika Latin ini adakan bertemu Croatia dan Austria, kemudiannya menentang Switzerland pada 18 Jun bagi perlawanan sulung dalam saingan Piala Dunia.
Dua lagi pasukan yang turut berada dalam kumpulan E adalah Serbia dan Costa Rica.