Bekas anggota skuad kebangsaan Jerman ketika menghadapi Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Cacau menjangkakan Marco Reus akan dapat memberikan sumbangan berkesan pada kejohanan edisi 2018.
Ia juga adalah aksi Piala Dunia yang pertama buat karier pemain Borussia Dortmund itu.
Ketika tumpuan sudah pastinya terarah kepada tiga bintang dunia iaitu Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Mohamed Salah di Rusia, Cacau melihat Reus berupaya untuk mempamerkan sentuhan terbaiknya kali ini.
Reus kempunan untuk meraih kejuaraan ketika Jerman mendakap Piala Dunia 2014 akibat kecederaan buku lali yang dialaminya pada sesi perlawanan pemanas badan sebelum kejohanan bermula.
Kini, pemain berusia 29 tahun itu kembali bersama pasukan ke Rusia dan Cacau juga mengharapkan agar Reus dapat memberikan impak yang besar dalam kejohanan serta berupaya untuk memenangi ‘Golden Ball’.
”Marco Reus merupakan pemain terbaik kejohanan, buat saya. Dia seorang pemain antarabangsa yang hebat, mampu untuk menggelecek, sangat pantas dan begitu kuat di kawasan serangan.”
”Saya gembira kerana Reus akhirnya memiliki pengalaman pertama dalam saingan Piala Dunia dan saya harap dia dapat kekal pada tahapnya, yang memberi makna peningkatan kualiti buat pasukan Jerman.”
Walaupun hanya beraksi dalam 11 perlawanan Bundesliga musim ini, Reus lebih menjadi pilihan ketua jurulatih Jerman, Joachim Low berbanding Leroy Sane.
Sane dilihat lebih menyerlah dalam kempen Liga Perdana Inggeris dengan membantu Manchester City meraih kejuaraan liga.