Sejauh Manakah Ketiadaan Rui Faria Mempengaruhi Mourinho Dan Prestasi Manchester United?

Sebagai sebuah kelab bola sepak – antara yang paling berpengaruh dan berjaya didalam bola sepak Inggeris – prestasi Manchester United pasti akan menarik perhatian pengikut bola sepak, tanpa mengira kawan atau lawan dari serata dunia.

Namun kemeruduman prestasi selaku juara 20 kali Liga Inggeris pada hari ini turut menjadi tanda tanya. Sebagai pengurus, Jose Mourinho turut tidak lari daripada kritikan peminat dan penganalisis bola sepak yang lain.

Photo by Getty Images
Permulaan baik

Jose Mourinho mengambil alih jawatan pengurus Manchester United daripada Louis van Gaal pada musim 2016. Pada musim pertama di Old Trafford, beliau berjaya membawa pasukan itu menjuarai dua trofi- Piala EFL diikuti oleh kejuaraan UEFA Europa League.

Musim berikutnya, walaupun tidak memenangi sebarang piala, Mourinho berjaya membawa Manchester United memperbaiki kedudukan mereka di dalam liga. Daripada menduduki tangga ke-6 pada musim sebelumnya, Manchester United mengakhiri musim 2017/18 di tangga kedua.

STOCKHOLM, SWEDEN – MAY 24: Jose Mourinho, Manager of Manchester United holds the trophy following victory in the UEFA Europa League Final between Ajax and Manchester United at Friends Arena on May 24, 2017 in Stockholm, Sweden. (Photo by Mike Hewitt/Getty Images)

Secara keseluruhan, pengendali dari Portugal itu juga sudah menjuarai 25 kejuaraan utama sepanjang karier beliau. Oleh itu tidak timbul sebarang isu yang mengatakan pengurus berusia 55 tahun ini tidak mempunyai kebolehan berbanding pengurus-pengurus utama dunia yang lain.

Pelbagai teori

Pelbagai teori dibangkitkan akan kegagalan Mourinho bersama Mancehster United pada hari ini. Antaranya ialah taktikal bola sepak dengan corak permainan bertahan yang dianggap konservatif dan kegagalan pengurusan tertinggi kelab tersebut membawa masuk pemain yang pengurus itu kehendaki.

Namun harus diingat, Jose Mourinho yang sama juga telah berjaya meraih 25 kejuaraan utama sepanjang karier beliau- termasuk dua trofi ke Old Trafford- dan barisan pemain yang ada pada hari ini juga mirip skuad yang sama pada musim lalu kecuali Daley Blind dan Zlatan Ibrahimovic yang masing-masing membawa haluan ke Belanda dan Amerika Syarikat.

(Photo credit should read IAN KINGTON/AFP/Getty Images)

Satu lagi teori yang menyebabkan Mourinho gagal memberikan impak kepada prestasi Manchester United seperti sebelum ini dan menarik untuk dibincangkan ialah ketiadaan orang kanan yang paling beliau percayai iaitu Rui Faria.

Hilang khidmat Rui Faria

Rui Faria adalah pembantu kepada Jose Mourinho sejak 17 tahun yang lalu. Bagaimanapun jurulatih berusia 43 tahun itu memutuskan untuk tidak terus bersama Mourinho dan Manchester United kerana mahu memberikan tumpuan kepada keluarga pada Mei lalu.

“Apabila saya mengambil keputusan untuk pergi, ia amat berat sekali. Saya bercakap mengenai persahabatan yang saya miliki bersama Mourinho. Sudah tentu kami akan kekal sahabat, tetapi ia tidak akan sama,” ujar Faria kepada The Times.

Ungkapan itu sudah cukup untuk menggambarkan keakraban kedua-dua individu. Kedua-dua mereka bukan sekadar mempunyai hubungan secara profesional. Malah lebih dariapada itu, ia juga bagaikan sebuah persahabatan. Sejauh mana impak ketiadaan Rui Faria sebagai pembantu Jose Mourinho di Old Trafford?

(Photo credit should read OLI SCARFF/AFP/Getty Images)
Ada apa dengan Sir Alex Ferguson?

Sepanjang tempoh 26 tahun Sir Alex Ferguson bergelar pengurus di Manchester United, pengurus yang berasal dari Scotland itu turut mempunyai beberapa pembantu yang dianggap sebagai orang kanan paling dipercayai untuk menguruskan sesebuah pasukan. Antaranya ialah Mike Phelan- yang merupakan pembantu beliau sejak 2008 sehinggalah pengurus tersebut mengumumkan persaraan beliau.

Sepanjang bersama Sir Alex, Phelan telah membantu boss beliau dan Manchester United meraih tiga kejuaraan liga, satu Piala Dunia Kelab, dua Piala EFL, dan juga mara ke perlawanan akhir UEFA Champions League pada 2011.

(Photo by Alex Livesey/Getty Images)

Hubungan di antara Phelan dan Sir Alex juga sebenarnya sudah bermula lama sebelum itu- iaitu pada 1989 ketika pengurus itu membawa Phelan ke Old Trafford sebagai pemain. Selepas bersara sebagai pemain, Sir Alex kemudiannya melantik Phelan sebagai jurulatih pada 2001, sebelum bergelar pembantu kepada beliau pada 2008.

Melalui This Football Life Podcast, Phelan mendedahkan bagaimana beliau bekerja dan membantu kejayaan Sir Alex di sebalik tabir ketika bersama Manchester United. Berikut adalah intipati podcast tersebut.

Jika seorang berjaya, maka semua akan berjaya

Menurut Phelan, rahsia kejayaan utama Manchester United mendominasi Liga Inggeris selama ini adalah kerana adanya ‘sebuah pasukan’ di sebalik pasukan itu sendiri. Pasukan yang dimaksudkan ialah mereka yang bekerja keras di sebalik tabir termasuk barisan kejurulatihan.

Sir Alex seoang tidak akan mampu untuk memberikan kejayaan kepada Manchester United. Phelan menekankan kewujudan satu pasukan lain di belakang pemain yang sanggup bekerja lebih demi kejayaan.

(Photo by Stephen Pond – EMPICS/PA Images via Getty Images)

Sir Alex dan barisan pemainnya mungkin akan mendapat nama daripada deretan kejayaan yang diraih. Namun bagi Phelan, kejayaan seorang, bermakna kejayaan buat semua. Sehingga kini beliau masih berbangga menjadi sebahagian daripada kejayaan lalu di Old Trafford.

Seorang perantara

Menurut Phelan, dua tugas utama seorang pembantu pengurus ialah untuk menjadi pendengar yang baik dan membuat keputusan. Anda bukan sahaja bertanggungjawab terhadap latihan pemain. Pada masa sama, anda juga harus memerhatikan keperluan pengurus dan kakitangan lain. Ia bagaikan anda adalah perantaraan kepada semua pihak di dalam sebuah pasukan.

Sebagai perantara anda harus menjadi pendengar yang baik, dan bijak memberikan nasihat kepada pendengar. Ada masanya, anda juga harus bertegas dalam satu-satu perkara. Ia adalah tanggungjawab seorang pembantu untuk menapis segala informasi yang akan disampaikan kepada pengurus. Ia bertujuan untuk memudahkan tugas pengurus; namun pada masa yang sama harus dilakukan dengan jujur untuk kebaikkan pasukan.

Manchester United manager Sir Alex Ferguson (right) with assistant manager Mike Phelan (left) in training (Photo by Mike Egerton – EMPICS/PA Images via Getty Images)
Kerendahan hati

Mike Phelan turut mengimbau kembali satu peristiwa ketika beliau perlu membuat keputusan kerana ketiadaan Sir Alex bersama pasukan pada ketika itu.

“Seperti kebiasaan untuk pra musim kelab akan mengadakan perlawanan di merata dunia. Kali itu pihak kelab mendesak untuk mendapatkan jawapan sama ada kami mahu beraksi di Tokyo.

“Pengurus tida ada bersama kami pada ketika itu, dan saya terpaksa membuat keputusan untuk berkata ya. Namun selepas itu saya lupa memberitahu Sir Alex mengenai perkara itu. Pada ketika beliau mengetahui mengenai keputusan tersebut, beliau terus menghubungi saya dan bertanya: ‘Dari mana keputusan ke Tokyo itu datang?’

(Photo credit should read TOSHIFUMI KITAMURA/AFP/Getty Images)

“Saya berkata: ‘Anda yang lakukan. Anda lakukan ketika anda bercakap mengenai peranan saya ketika menawarkan jawatan pembantu.’ Sir Alex okay dengan jawapan tersebut walaupun pada mulanya nada beliau sememangnya marah,” ujar Phelan.

Situasi di atas menjelaskan bagaimana kerendahan hati membentuk gandingan yang mantap di kalangan pengurus dan pembantu.

Meredakan tekanan

Tidak dapat dinafikan tugas seorang pengurus kepada kelab besar seperti Manchester United akan memberikan tekanan yang melampau. Sir Alex turut tidak lari dari realiti tersebut. Menurut Phelan, salah satu tugas beliau ialah untuk meredakan tekanan yang dihadapi oleh Sir Alex.

“Jangan salah anggap akan fakta ini. Tugas seorang pembantu pengurus ialah tugasan yang sangat serius. Namun seorang pengurus juga tidak lari dari tekanan, dan di situlah anda harus mengambil peranan untuk meredakan situasi.

(Photo by Jamie McDonald/Getty Images)

“Perkara terpenting di dalam bola sepak ialah anda harus gembira melakukan tugasan anda. Anda berhak untuk berasa gembira dan senyum dan menikmati apa yang anda lakukan. Antara peranan saya ialah untuk membuatkan Sir Alex ketawa, dan memastikan beliau tidak berseorangan,” jelas Phelan.

Penutup

Sejauh manakah ketiadaan Rui Faria di dalam barisan kejurulatihan Manchester United memberikan impak kepada Jose Mourinho adalah perkara yang amat subjektif untuk dibicarakan.

Namun kita tahu satu perkara. Bola sepak ialah sebuah sukan yang dimainkan secara berpasukan. Begitu juga di setiap peringkat sukan itu termasuk di bidang kejurulatihan dan pengurusan.

 

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN