Pemain tengah Portugal, Ruben Neves memuji ketua pasukannya, Cristiano Ronaldo dalam memimpin skuad A Seleção das Quinas meraih kejuaraan kedua dalam tempoh tiga tahun.
Neves yang beraksi untuk Wolverhampton Wanderers menyifatkan Ronaldo sebagai pemain terbaik sepanjang zaman dari kaca matanya.
Beliau turut menganggap skuad Portugal beruntung kerana memiliki pemain seperti bintang Juventus itu.
”Cristiano (Ronaldo) adalah yang terbaik. Dia membuktikannya pada separuh akhir. Kami beruntung kerana memilikinya dalam pasukan ini.”
Ketika ditanya wartawan adakah Ronaldo merupakan pemain terbaik sepanjang zaman, ini respon diberikan Neves:
”Sudah tentu, ya. Pada saya, dia adalah yang terbaik dan saya seorang yang bertuah kerana dapat beraksi bersama dengannya.”
Portugal menewaskan Belanda 1-0 pada aksi final UEFA Nations League di Porto menerusi jaringan tunggal Goncalo Guedes pada minit ke-60.
Ronaldo muncul watak penting dalam membawa Portugal ke perlawanan akhir selepas menyumbat hatrik pada aksi separuh akhir bertemu Switzerland.
Pada tahun 2016, Portugal muncul juara Kejuaraan Eropah selepas menundukkan tuan rumah, Perancis juga dengan keputusan 1-0. Eder muncul wira Portugal selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-109.
Perlawanan itu juga menyaksikan Cristiano Ronaldo hanya sempat beraksi selama 25 minit selepas terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan lutut akibat dikasari Dimitri Payet.