Quantcast

BERITA

Tan Cheng Hoe Akui Kedudukan Ranking Sangat Penting

Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dijangka akan menurunkan barisan yang sama apabila bakal bertemu Timor Leste sekali lagi malam ini dalam aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Meskipun mencatat kemenangan besar 7-1 pada Jumaat lalu pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, beliau enggan mengambil risiko untuk menurunkan skuad kedua kerana kemenangan amat penting untuk meningkatkan kedudukan ranking negara.

“Ranking sangat penting untuk undian pusingan kedua nanti, jadi saya nak pemain turun ke padang dengan misi untuk dapatkan keputusan yang positif esok (malam ini). Perlawanan ini juga penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan pada pusingan seterusnya, di mana kita akan bertemu pasukan yang lebih kuat,” katanya dalam Bernama.

FOTO: FAM

Bagaimanapun, bekas pengendali Kedah itu mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang mudah pada lawan yang pasti akan bangkit untuk mencari sekurang-kurangnya keputusan seri.

“Selaku jurulatih, saya mahu pemain-pemain memberikan tumpuan dan semangat yang sama, turun ke padang dengan keyakinan yang sama, penumpuan sepenuhnya dan bermain dengan cara yang sama dalam perlawanan pertama.

“Kesemua pemain bersemangat dan dahagakan untuk bermain dan menyarung jersi Harimau Malaya, jadi saya perlu mencari kesebelasan terbaik, saya tidak mahu pemain merasa gentar dan tertekan esok (malam ini), “ katanya.

FOTO: FAM

Cheng Hoe percaya, jika Timor Leste memilih untuk bermain bertahan, pemainnya masih mampu menembusi benteng lawan dengan syarat anak buahnya memberi tumpuan 100 peratus.

“Bagi saya, pemain perlu fokus kepada perlawanan dan bermain ikut cara kita. Timor Leste ada taktik sendiri dan itu perlu dihormati.

“Namun, saya yakin kita ada pemain yang mampu menembusi benteng mereka dan boleh mencipta peluang gol. Yang penting, setiap kali dapat peluang, kita kena manfaatkan.

“Kita juga tidak boleh kehilangan bola terutama yang menyebabkan benteng kita berada dalam keadaan bahaya,” katanya seperti dipetik dalam Harian Metro.