Roy Makaay: Penjaring Prolifik Yang Merentasi Benua Eropah, Bawa Deportivo Cipta Sejarah

Roy Makaay

Nama Roy Makaay sering dibayangi kelibat penyerang terkemuka dunia yang lain seperti Raul Gonzales, Ronaldo Nazario De Lima, Thierry Henry dan ramai lagi dalam tempoh masa 20 tahun yang lalu.

Pemain yang dinyatakan diatas adalah penyerang yang bertaraf dunia, namun nama Roy Makaay perlu disebut sebaris dengan kehebatan para pemain tersebut kerana sentuhan jaringannya yang begitu memberangsangkan sepanjang karier beliau.

Makaay yang kini berusia 42 tahun berjaya mencipta 316 jaringan dalam 658 penampilan di tiga buah negara iaitu Belanda, Sepanyol dan Jerman.

Memulakan karier beliau pada tahun 1993 bersama Vitesse Arnhem, Makaay kemudiannya berkelana ke Sepanyol 4 tahun kemudian untuk beraksi bersama Tenerife dalam saingan La Liga.

2 tahun bersama Tenerife menyaksikan beliau agak bergelut bagi mempamerkan aksi yang terbaik. 21 gol daripada 77 perlawanan telah dihasilkan dan membawa Makaay berhijrah ke Deportivo La Coruna pada tahun 1999.

Perpindahan ke Deportivo mengubah segalanya

Penghijrahan ke-2 dalam kariernya sewaktu berusia 24 tahun ketika itu lebih bermakna apabila Makaay berjaya membentuk gandingan mantap di bahagian serangan bersama Diego Tristan.

Di Estadio Riazor, gandingan duo ini berjaya menjadi kunci kepada sejarah kelab yang tercipta apabila melakukan kejutan dengan menghadiahkan satu-satunya kejuaraan La Liga sehingga kini buat Deportivo.

Makaay merekodkan 22 jaringan dalam 36 penampilan liga pada musim pertama yang bersejarah di kelab tersebut seterusnya menjadi berita hangat serata dunia ketika itu.

Terpaksa bersaing dengan gergasi Sepanyol membuatkan sukar untuk mengekalkan prestasi di tahap tertinggi. 2 tahun berikutnya menunjukkan perbezaan buat Deportivo jika dibandingkan pada tahun 2000 tetapi masih mampu untuk memenangi 2 kejuaraan Supercopa (2000 & 2002) dan Copa Del Rey pada tahun 2002.

Kejayaan menjuarai La Liga akan sentiasa diingati sebagai detik yang paling gembira buat kelab tersebut.

Mencipta nama di peringkat Eropah

Pada musim 2002-03, Makaay terus melonjakkan prestasinya dan meletakkan nama beliau sebaris dengan penyerang terbaik dunia yang lain.

Ketajamannya dihadapan gol terus terserlah apabila berjaya meledak 39 jaringan dari 54 perlawanan bagi membolehkannya yang bukan sahaja dinobatkan selaku penjaring terbanyak bagi La Liga bahkan beliau turut menjadi penjaring terbanyak saingan Eropah musim tersebut.

Musim ini juga menyaksikan Deportivo menamatkan saingan La Liga ditempat ke-3 dibelakang Real Madrid yang menjadi juara dan Real Sociedad.

Dipancing Bayern Munich

Karier gemilang Makaay terus berkembang setelah mengambil keputusan untuk mengubah haluan pada tahun 2003 untuk ke Jerman bagi menyertai Bayern Munich dengan nilai perpindahan sekitar € 18 juta.

Ini menjadi permulaan hubungan hebat antara Bayern dan Makaay, kerana pemain yang dikenali sebagai ‘Das Phantom (hantu)’ itu menjadi kegemaran peminat sepanjang empat musim yang sarat dengan kejayaan.

Roy Makaay
Makaay ketika bersama Bayern Munich.

Panggilan tersebut diberikan oleh peminat Bayern kerana Makaay seringkali ‘tidak dapat dilihat oleh pemain lawan’ dan terlalu efisien dihadapan gol.

Tiga daripada empat musim beliau di Bayern, Makaay berjaya menjadi penjaring terbanyak Bundesliga dan seterusnya membantu menjuarai 2 gelaran Bundesliga dan 2 Piala Jerman.

Pelaburan Bayern untuk mendapatkan Makaay pada usia 28 tahun terbukti sangat bijak. 103 gol dalam 181 penampilan untuk Bayern sudah cukup untuk mengiyakan perkara tersebut.

Berjaya jaringkan gol pantas untuk menumbangkan Real Madrid

Pada 7 Mac 2007, Makaay berjaya mencipta jaringan pantas ketika bertemu Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. Jaringan tersebut hanya mengambil masa 10.12 saat untuk dilakukan oleh Makaay.

Jaringan tersebut berpunca daripada kesilapan dilakukan oleh Roberto Carlos yang gagal mengawal bola dengan baik seterusnya berjaya disambar Hasan Salihamidžić yang melakukan hantaran kepada Makaay bagi membolosi gawang yang dikawal Iker Casillas.

Kurang menyinar bersama Belanda

Makaay mempunyai 43 kaps antarabangsa dan menjaringkan 6 gol untuk Belanda.

Rekod kurang baik ini tidak lain dan tidak bukan kerana disebabkan persaingan yang sangat hebat perlu beliau hadapi untuk merebut tempat dengan penyerang-penyerang nama besar yang lain seperti Dennis Bergkamp, Patrick Kluivert dan Ruud van Nistelrooy.

Mengakhiri karier di tanah air sendiri

Bayern Munich yang mendapatkan khidmat Miroslav Klose dan Luca Toni ketika itu memaksa Makaay memilih haluan baru bagi terus mendapat peluang beraksi.

Beliau akhirnya membuat keputusan pulang ke Belanda untuk beraksi bersama Feyenoord pada tahun 2007.

Makaay bersara pada akhir musim 2009-10 dan telah menjaringkan hatrik pada perlawanan terakhirnya menentang Heerenveen.

Kini beliau menjawat jawatan sebagai jurulatih penyerang di Feyenoord dan dalam masa yang sama beliau juga merupakan penolong jurulatih bagi skuasd remaja Feyenoord.

Rumusan

Dengan kelajuan, kekuatan dan keupayaan untuk menjaringkan setiap gol, Roy Makaay seharusnya dipertimbangkan sebagai salah seorang penyerang hebat bola sepak Eropah.

Makaay mengangkat reputasinya sebagai penjaring gol yang produktif merentasi benua Eropah dan mendorong kelab-kelab yang dikemudinya ke peringkat yang lebih tinggi.

Di Deportivo La Coruna dan Bayern Munich, pemilik nama penuh Rudolphus Antonius Makaay ini telah pun diangkat sebagai legenda kelab.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN