Roy Keane: Jeneral Tengah Manchester United Yang Membuatkan Kenny Dalglish Mengamuk

Roy Keane: kapten Manchester United. Pemenang 7 kejuaraan Premier League, 4 trofi FA Cup, 1 trofi UEFA Champions League dan Intercontinental Cup.

Bagi penyokong pasukan selain Manchester United, Roy Keane adalah watak yang sangat berpolarisasi – sama ada anda sukakannya atau bencikannya. Jarang-jarang ada penyokong bola sepak yang mempunyai pendapat neutral terhadapnya.

Kerja sambilan ketika muda

Karier bola sepak Roy Keane bermula di Cobh Ramblers – sebuah kelab Ireland yang baru dipromosi ke Ireland First Division – pada musim 1989/1990.

Hanya ditawar kontrak remaja, Keane terpaksa membuat beberapa kerja sambilan. Antaranya kerja menghantar beg simen dari kilang ke tapak pembinaan semasa umurnya 16 dan 17 tahun. Menurut Keane:

“Kerja itu taklah teruk sangat. Tapi ia membuatkan saya lebih berazam untuk menjadi pemain bola sepak profesional. Saya tak mahu kerja angkut beg simen sampai tua.”

Tak rasa cukup bagus untuk Manchester United

Menulis surat kepada kelab-kelab bola sepak adalah tradisi pemain muda tanpa ejen pada era 80 dan 90-an. Itulah yang dilakukan oleh Roy Keane.

Keane menulis surat kepada 8-9 kelab – tetapi tiada satu pun dituju kepada Manchester United kerana menurut beliau ‘saya tak rasa saya ada peluang di Manchester United’.

Beberapa kelab membalas surat Keane. Salah satunya adalah Nottingham Forest yang pada ketika itu dilatih oleh pengurus lagenda tetapi sedang bergelut dengan masalah ketagihan alkohol, Brian Clough.

Membuat Kenny Dalglish marah

Persembahan cemerlang Roy Keane bersama Nottingham Forest terutamanya ketika final FA Cup 1991 (menentang Tottenham Hotspur) menarik minat 2 kelab besar Premier League pada ketika itu – Blackburn Rovers dan Manchester United.

Manchester United hanya mampu menunjuk minat selepas gagal mencapai persetujuan yuran perpindahan dengan Forest.

Blackburn yang ketika itu kaya berjaya mendapat persetujuan Forest. Malah pengurus Blackburn, Kenny Dalglish sendiri sudah berjabat tangan dan mencapai persetujuan verbal dengan Keane.

Tetapi disebabkan persetujuan verbal tersebut dicapai pada malam hari Jumaat, Blackburn perlu menunggu sehingga hari Isnin sebelum dapat tanda tangan Roy Keane.

Pada hari Sabtu, Roy Keane balik ke Ireland. Pada hari Ahad, beliau mendpaat panggilan daripada Manchester United. Pada hari Isnin, Roy Keane menandatangani kontrak dengan Manchester United.

Kenny Dalglish hanya mampu mengamuk di pejabatnya apabila mendengar berita Roy Keane memungkiri janjinya pada hari Isnin itu.

Insiden panas di atas (dan luar) padang

Peminat bola sepak Premier League era 90-an pasti teringat insiden Roy Keane:

1) bertikam lidah dengan Patrick Vieira di terowong Highbury Stadium sebelum masuk padang

Ketika United melawat Highbury untuk menentang Arsenal pada 2005, pengadil Graham Poll terpaksa menenangkan Keane yang dilihat sedang bertikam mulut dengan Patrick Vieira di terowong stadium sebelum perlawnaan bermula.

Menurut Keane:

“Saya bukannya nak bergaduh sangat dengan beliau (Vieira). Saya cuma nak mempertahankan Gary Neville.”

“Saya cuma berminat bertarung menentang Patrick (Vieira) di atas padang saja. Sama seperti saya bertarung menentang Gerrard dan Lampard. Atau Scholesy dan Butty semasa latihan.”

United menang 4-2 dalam perlawanan tersebut.

2) memijak pertahanan Crystal Palace, Gareth Southgate

Sepanjang perlawanan, Gareth Southgate dilihat cuba menyaingi keagresifan Keane dengan beberapa bentesan keras. Keane membalas provokasi Southgate dengan memijak dadanya.

“Ya, saya mungkin melampau batas dengan memijak beliau. Tapi dia (Southgate) cuba cederakan saya dengan bentesan. Dia cuma dapat kad kuning saja. Zaman sekarang mungkin beliau dah dipenjara 2 bulan dengan bentesan sebegitu.”

“Saya pijak dia kerana saya mahu mempertahankan diri saya.”

tumblr_ma8hlbcFxe1rz1nmdo1_500

3) mencedera dan menamatkan karier pertahanan Manchester City, Alf-Inge Haaland

Pada September 1997 semasa Haaland bermain untuk Leeds United, Keane cuba membentes Haaland yang cuba menghalangnya mendapatkan bola. Keane bukan saja gagal malah mendpaat kecederaan ACL.

3 tahun lebih kemudian ketika Haaland bermain untuk Manchester City, Keane berjaya membalas dendamnya terhadap Haaland dengan menakik lutut kanannya.

“Saya tak menyesal langsung (mencederekan Alf-Inge Haaland). Orang selalu kritik bentesan yang saya lakukan. Tapi tak pernah pun bincangkan bentesan yang saya terima masa final FA Cup 1999 (menentang Newcastle).”

“Bentesan saya terhadap Haaland itu membuatkan saya rugi lebih £400,000 (kos denda).”

Selepas bentesan Keane tersebut, Haaland gagal pulih sepenuhnya hingga terpaksa bersara.

4) bergaduh dengan Mick McCarthy sehingga menarik diri keluar dari skuad Ireland pada Piala Dunia 2002

Insiden Saipan bermula dengan layanan buruk pegawai pengurusan FA Ireland terhadap pemain dari segi padang latihan yang buruk, tempat duduk kapal terbang, diet pemain hinggalah kepada strategi taktikal Mick McCarthy sendiri.

Ini membuatkan kapten Ireland, Roy Keane tak puas hati. Media Ireland yang dapat menghidu ketidakpuasan hati Keane kemudiannya membuat temu ramah dengan Keane bagi meluahkan kemarahannya.

“Saya tak pernah mencari masalah di Saipan (lokasi kem latihan Ireland semasa Piala Dunia 2002). Saya cuma mempertahankan diri saya.”

“Mick McCarthy tuduh saya tak hormat dia. Dia kata, bagaimana awak nak main untuk saya kalau awak tak hormat saya?”

“Saya jawab, OK. Saya takkan main untuk kamu. Tapi saya akan main untuk negara.”

Artikel temu ramah ini disiarkan oleh akhbar The Irish Times. Artikel ini saja membuatkan McCarthy mengamuk dan bergaduh dengan Keane sebelum menghantar kapten pasukannya pulang sebelum kempen Piala Dunia 2002 bermula.

5) mengkritik rakan sepasukan di MUTV sehingga dipecat Sir Alex Ferguson

Selepas Manchetser United tewas 1-4 kepada Middlesbrough, Roy Keane – pemain yang sudah pun berusia 34 tahun dan bukan lagi tulang belakang United – melancarkan serangan verbal kepada pemain United lain di MUTV.

keane mutv

Kritikan Keane ini membuatkan Sir Alex Ferguson tiada pilihan lain selain memecat dan membatalkan kontrak Keane sebagai pemain Manchester United.

Keane kemudiannya berhijrah ke Celtic sebelum bersara pada musim panas 2006.

Persembahan separuh akhir UCL 1999 vs Juventus

Bagi penyokong United, gol Roy Keane pada minit 34′ semasa separuh akhir kedua UEFA Champions League 1999 adalah adalah akar umbi kemenangan trofi Champions League mereka yang pertama.

Ketinggalan 0-2 hasil 2 jaringan awal Filippo Inzaghi, Keane memulakan kebangkitan United dengan menjaringkan gol pertama. United menang 3-2 dan mara ke perlawanan akhir untuk bertemu Bayern Munich.

Roy-Keane-wheels-away-aft-001

Bagaimanapun Keane tidak dapat bermain dalam final kerana kad kuning yang dikutipnya selepas mejatuhkan Zinedine Zidane.

Keane menyalahkan rakan sepasukan, Jesper Blomqvist kerana melakukan hantaran buruk yang memaksanya melakukan foul.

Tetapi Blomqvist berkeras menyatakan Keane sepatutnya mengawal bola lebih baik – sesuatu yang dipersetujui Keane selepas bersara.

Kesimpulan

Benci atau sayang – imej Roy Keane sebagai jeneral di tengah padang sambil mempertahankan rakan-rakan sepasukannya tidak akan pudar dari ingatan peminat United era 90-an dan awal 2000-an.

Bagi penyokong Arsenal atau seteru United lain pada era yang sama, Roy Keane mungkin berada dalam senarai 10 pemain yang paling dibenci oleh mereka.

Apa yang pasti, mana-mana pemain United yang berada dalam senarai tersebut sebenarnya adalah pemain United yang bagus.

Baca juga: Michael Ballack: Lagenda Yang Disumpah Badi Naib Juara

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN