Kenali Chan Yuen-ting, Wanita Pertama Di Dunia Latih Pasukan Lelaki Jadi Juara Liga

Caroline Morace, Helena Costa dan Corinne Diacre pasti berbangga dengan pencapaian Chan Yuen-ting, seorang wanita muda dari Hong Kong.

Ini kerana Chan Yuen-ting baru sahaja mencipta sejarah dalam dunia bola sepak lelaki apabila muncul satu-satunya ketua jurulatih wanita di Asia (malah dunia juga) yang berjaya membawa pasukan bola sepak lelaki menjadi juara liga.

Chan_Yuen-ting_Eastern_coach (1)

Chan merupakan ketua jurulatih Eastern (東方足球隊)- sebuah pasukan Hong Kong Premier League – yang muncul juara liga kali pertama dalam tempoh 20 tahun selepas menewaskan South China 2-1.

Bebola daging yang sukakan David Beckham

Ketika Chan Yuen-ting dilantik sebagai ketua jurulatih Eastern pada Disember 2015, beliau baru saja berumur 27 tahun. Ini menjadikan beliau ketua jurulatih termuda dalam liga yang diiktiraf AFC.

SCMPOST 08DEC15 SP COASH1 10941836_10153030499299467_26348.jpg

Dalam dunia kerjaya yang dominan dengan jantina lelaki, Chan tidak gentar menyahut cabaran:

“Eastern adalah kelab bercita-cita tinggi tetapi saya tak takut menyahut cabaran untuk membawa kelab ke era yang berjaya.”

Mesra dipanggil ‘Bebola Daging’ dalam bahasa Kontonis, cara Chan mula berjinak-jinak dalam dunia bola sepak adalah sama dengan cara gadis era 90-an mula jatuh cinta kepada bola sepak – David Beckham.

“Saya mula belajar cara main bola sepak kerana David Beckham. Imejnya yang kacak memikat hati saya.”

Bermula sebagai hobi melalui latihan-latihan bola sepak yang disertainya semasa musim panas, bola sepak menjadi serius bagi Chan apabila beliau menjadikan bola sepak sebagai fokus tesis universiti beliau – walaupun beliau sebenarnya berada dalam Fakulti Geografi.

Tajuk tesisnya adalah ‘Kajian Bola Sepak Hong Kong Melalui Perspektif Geografi’. Ia adalah kajian bola sepak yang dijelaskan mengikut cuaca Hong Kong, kedudukan padang dan polisi populasi.

“Mak ayah saya menentang bila saya mula serius dalam bola sepak. Mereka mahu saya jadi guru di sekolah.”

“Tetapi selepas melihat kerja keras saya membuahkan hasil dalam bola sepak, mereka mula menyokong saya.”

Bermula dari bawah

Selepas bergraduasi dari universiti pada 2010, Chan bekerja sebagai penganalisis data di TSW Pegasus – sebuah pasukan Hong Kong Premier League. Dalam masa 3 tahun, Chan sudah mendapat lesen A kejurulatihan AFC.

Selepas ditauliahkan sebagai jurulatih berlesen, Chan diberi tugas melatih pasukan bawah-18 Hong Kong Youth League dan membawa mereka menjadi juara pada 2015.

4 bulan kemudian Chan terus dilantik sebagai ketua jurulatih Eastern, mengambil alih tugas ketua jurulatih Yeung Ching-kwong (gambar bawah bersama Chan) yang mendapat tawaran di China.

00aaaaa8-0902-11e6-99cd-3469e7fd8aa2_486x

Pihak pengurusan pasukan Eastern menyedari risiko perlantikan Chan sebagai ketua jurulatih, tetapi berpendapat Chan adalah satu-satunya pilihan logik mereka pada ketika itu.

Pengarah eksekutif Eastern, Peter Leung Shou-chi berkata:

“Cabaran beliau (Chan) bukannya senang tetapi kami akan beri sokongan. Beliau juga akan mendapat sokongan daripada pembantu jurulatih yang lain.”

“Pengetahuannya dalam bola sepak, pemain dan operasi pasukan adalah kelebihannya paling nyata.”

Kesimpulan

Walaupun kisah Chan Yuen-ting sebagai ketua jurulatih bola sepak sebenarnya baru bermula, ia masih memberi inspirasi.

Kisah Chan memberi inspirasi kepada wanita, bahawa mereka sebenarnya boleh menjadi bos dalam dunia bola sepak lelaki jika mempunyai minat, bekerja keras dan berani menyahut cabaran.

Malah 75% pembaca kami yang majoritinya terdiri daripada lelaki mengesahkan, mereka tidak kisah bermain di bawah kendalian ketua jurulatih wanita jika mereka berkelayakan.

Bagi jurulatih muda, kisah Chan mampu memberi keyakinan pada satu hari nanti mereka akan berpeluang menjadi ketua jurulatih pasukan liga paling berprestij di sesebuah negara dan membawa mereka menjadi juara.

Bagi peminat bola sepak yang tiada karier bola sepak sebagai pemain tetapi mahu menjadi jurulatih, kisah Chan juga boleh memberi inspirasi yang mereka boleh menjadi jurulatih.

Bagi Chan, beliau telah membanggakan Caroline Morace (ketua jurulatih wanita pertama di dunia untuk pasukan bola sepak lelaki), Helena Costa (bekas pengurus Clermont Foot) dan Caroline Diacre (sedang mengurus Clermont Foot).

Baca juga: Bolehkah Wanita Menjadi Jurulatih Bola Sepak Lelaki?

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN