Ross Barkley yang sudah pulih sepenuhnya dari sebarang kecederaan berhasrat untuk memenangi hati pengurus baharu Chelsea, Maurizio Sarri.
Barkley turut mengatakan bahawa beliau kini lebih cergas berbanding sebelum ini dan bersedia untuk menjadi pilihan utama di Chelsea.
Menurut sumber Goal, keazaman yang ditunjukkan Barkley tidak dapat dinafikan apabila beliau mengambil inisiatif dengan mendapatkan jurulatih kecergasan peribadi dalam membantu meningkatkan kecergasannya.
Sebaik sahaja pulih dari kecederaan panjang bersama Everton, Barkley memilih untuk berhijrah ke Chelsea dan hanya mampu membuat empat penampilan bersama The Blues pada musim 2017/18.
Ketika di Chelsea pula, terdapat beberapa kecederaan yang memaksanya hanya menjadi pemerhati di luar padang.
”Saya tiba (di Chelsea) dengan satu kecederaan yang panjang. Saya telah melakukan segalanya dengan sempurna.”
”Saya berasa cukup kuat menjelang akhir musim dan kemudian menamatkan musim, bekerja keras, kembali semula dan itulah kerja keras yang saya lakukan musim lalu.”
”Saya tidak bermain banyak perlawanan kerana sedikit kebimbangan terhadap kecederaan yang panjang dialami tersebut. Kini. saya berasa cukup baik dan saya tahu kerja keras itu akan membuahkan hasil.”
”Saya berehat selama beberapa minggu, hanya berehat, kemudian bekerja keras dengan jurulatih kecergasan. Banyak berlari dan memberikan tubuh badan saya bersedia untuk menghadapi musim ini.”
”Ya, ia sungguh sukar. Anda tahu, dengan jenis kecederaan yang saya hadapi akan memberikan anda sedikit kebimbangan.”
Dalam pada itu, Barkley menjelaskan bahawa beliau gembira untuk berada bersama kelab London ini dan mahu mencuri tumpuan Maurizio Sarri.
”Saya rasa seperti berada sudah lama di sini dan saya begitu selesa bersama rakan sepasukan yang lain. Ketika ‘off-season’, saya mendapati diri saya begitu cergas untuk bermula.”
”Apabila anda mendapat pengurus baru, anda perlu menarik perhatiannya dan memenuhi apa yang dimahukannya dengan cepat. Itu adalah cara yang saya lakukan.”