Pemain tengah Chelsea, Ross Barkley menggesa pengurusan tertinggi The Blues supaya memberikan masa buat pengurus, Maurizio Sarri untuk menyelamatkan tugasannya.
Kedudukan Sarri selaku pengurus Chelsea kini sedikit goyah selepas persembahan yo-yo dipamerkan menyebabkan kelab London itu tewas lima daripada sebelas perlawanan terakhir.
Sudah pasti kekalahan 0-6 ketika bertemu Manchester City dan 0-4 ditangan Bournemouth antara yang menjadi mimpi buruk buat Sarri dan anak buahnya.
Keadaan yang sedang dihadapi kem Chelsea ini menyebabkan khabar angin bertiup yang mengatakan Zinedine Zidane dan Frank Lampard kini antara pilihan utama yang akan menggantikan pengendali kelahiran Itali itu.
Namun bagi Barkley, beliau secara peribadi mengharapkan semua pihak dapat bersabar dalam usaha mencapai kejayaan.
”Kami mempunyai cita-cita untuk menjadi salah satu antara pasukan terbaik di dunia. Kami (Chelsea) adalah sebuah kelab yang besar di dunia.”
”Cara permainan yang dimahukan oleh pengurus untuk bermain – ia tidak berada di sini ketika ini. Ia akan hadir sepanjang masa.”
”Dia cuba untuk meningkatkan setiap pemain. Sepanjang kariernya, anda dapat melihat di Napoli bagaimana dia melakukan dengan cukup baik terhadap pemain yang dimiliki, bagaimana dia meningkatkan para pemainnya.”
”Anda dapat melihat di sesi latihan apabila terdapat banyak benda yang diperbaiki pada setiap individu.”
Sarri dapat meredakan sedikit tekanan terhadapnya pada awal pagi ini sekiranya Chelsea berjaya merangkul trofi Piala Carabao apabila The Blues akan berdepan Manchester City pada perlawanan akhir.