Ronaldo, Careca dan Leandro sudah bersedia untuk menggempur kubu pasukan Kedah dalam aksi final Piala FA yang akan berlangsung pada Sabtu ini.
Trio import dari Brazil tersebut bertekad mahu membantu Perak mengakhiri kemarau kejuaraan Piala FA yang kali terakhir dibawa ke bumi Perak pada 2006.
Ronaldo berharap prestasi baik beliau akan diteruskan dalam aksi itu nanti. Ronaldo meledak 8 gol dalam 12 perlawanan setakat ini bersama Perak.
Ronaldo juga menagih sentuhan 2 lagi rakannya itu untuk membantunya dalam usaha mencari gol.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ronaldo berkata: “Walaupun kami tidak pernah beraksi bersama sebelum ini, namun keserasian saya dengan Careca – dibantu oleh Leandro banyak membantu saya menghasilkan gol untuk pasukan.”
“Kami juga ada kelebihan kerana bertutur dalam bahasa Portugis, di mana ramai pemain lawan kami yang tidak faham.”
“Bukan kami sahaja, malah rakan-rakan sepasukan lain turut saling bekerjasama sebagai satu pasukan.”
Ronaldo kemudian memuji pasukan Kedah yang disifatkan beliau sebagai sebuah pasukan yang beraksi sangat baik dalam satu unit.
Lantas, Ronaldo mahu fokus sepenuhnya kepada aksi final itu nanti dan mencari cara untuk menembusi barisan pertahanan pasukan Kedah.
Perak merupakan juara 2 kali Piala FA. Mereka berhasrat untuk menamatkan saingan musim ini dengan piala domestik sekali lagi – selepas menjulang Piala Malaysia musim lalu.