Penyerang legenda kelahiran Brazil, Ronaldo Luis Nazario de Lima mendedahkan bahawa beliau melakukan segalanya untuk kembali semula ke Inter Milan sebaik sahaja meninggalkan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid pada jendela perpindahan musim sejuk 2006/07.
Ronaldo bagaimanapun hampa apabila kelab yang diwakilinya bermula 1997/98 hingga 2001/02 itu hanya mendiamkan diri walaupun beliau sememangnya berhajat besar untuk kembali ke Giuseppe Meazza.
Beraksi selama empat musim bersama Inter Milan [tidak termasuk kecederaan panjang musim 2000/01], Ronaldo telah membuat 99 penampilan dan berjaya menjaringkan 59 gol dalam semua pertandingan yang disertai.
Kualiti hebat sebagai seorang peledak berbisa telah menarik minat Real Madrid untuk membawanya ke Santiago Bernabeu pada musim 2002/03. Musim kelima di Madrid menyaksikan karier Ronaldo begitu malang apabila beliau tidak mendapat tempat di hati Fabio Capello.
Hanya diturunkan pada tujuh perlawanan liga dan sekadar menjaringkan satu gol, Ronaldo memilih untuk berhijrah dan melihat peluang untuk kembali ke Inter Milan.
Malangnya Inter Milan tidak berhajat untuk merekrut semula Ronaldo dan akhirnya seteru Inter, AC Milan menjadi destinasi seterusnya buat pemenang Piala Dunia 1994 dan 2002 itu.
”Nampaknya senang untuk saya mengatakan tentang perkara ini sekarang, tetapi itulah kebenarannya, saya mahu untuk kembali beraksi bersama Inter Milan.”
”Lebih-lebih lagi, saya telah melakukan segalanya untuk kembali ke Inter. Saya menunggu dengan cukup lama dan memberikan masa kepada Inter sama ada mengatakan ya atau tidak.”
”Apabila keputusan ya atau tidak tak juga diberikan, ia bermakna tidak,” ujar Ronaldo menurut laporan Sportbible.
Dalam pada itu, Ronaldo mengakui beliau tidak menyesal kerana menandatangani kontrak bersama musuh ketat Inter Milan itu.
”Dari AC Milan, mereka mengatakan ya dan pada waktu itu, saya merasai seperti pengkhianat, dan merasakan sedikit dikhianati kerana ditolak oleh Inter.”
”Ia merupakan pilihan yang tidak popularm tetapi dalam hidup saya, saya tidak pernah takut untuk melakukannya. Dan pada hari ini tidak masuk akal untuk saya bertanyakan kepada diri sendiri apakah saya akan melakukannya lagi.”
Kredit featured image: Claudio Villa I Getty Image
Baca artikel lain dari kami mengenai Ronaldo: