Quantcast

BERITA

Ronaldo Direhatkan Daripada Menyertai Skuad Kebangsaan Portugal

Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo kali ini direhatkan daripada tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Portugal bulan depan. Malah, sembilan pemain dari skuad Piala Dunia juga tidak disenaraikan jurulatih Fernando Santos.

Ia satu keputusan di luar jangkaan apabila Ronaldo yang juga pemain terbaik dunia sebanyak lima kali adalah tonggak paling banyak tampil bersama skuad kebangsaan negaranya selain menjadi penjaring terbaik dalam rekod sepanjang zaman, jarang disisihkan walaupun hanya aksi persahabatan.

“Selepas berbincang dengan pemain, dan selepas dia (Ronaldo) berhijrah ke Juventus dengan semua proses penyesuaian yang diperlukan, kami faham ia adalah keputusan yang terbaik untuk dia tidak beraksi bagi perlawanan ini,” kata Santos kepada pemberita.

Bintang berusia 33 tahun itu menyertai Juventus dari Real Madrid pada Julai lalu dan masih belum meledak gol untuk kelab barunya selepas dua perlawanan.

Portugal tersingkir daripada saingan 16 terakhir di Piala Dunia kepada Uruguay akan berdepan Croatia pada aksi persahabatan, 6 September dan Itali dalam perlawanan pembukaan Liga Negara-Negara, empat hari kemudian.

Penjaga gol Anthony Lopes, pertahanan Ricardo Perreira, Bruno Alves dan Jose Fonte, pemain tengah Joao Mario, Joao Moutinho, Adrien Silva dan Manuel Fernandes serta penyerang Ricardo Quaresma antara pemain dari skuad Piala Dunia yang tidak tersenarai.