Pemain baharu Al Nassr, Cristiano Ronaldo boleh meninggalkan kelab tersebut pada bila-bila masa beliau mahu untuk mencari perlawanan bola sepak sebenar.
Ronaldo yang melukut di tepi gantang selepas kontraknya ditamatkan oleh Manchester United memilih untuk ke Arab Saudi untuk memastikan dirinya terus beraksi di atas padang.
Perpindahan Ronaldo ke Arab Saudi itu telah melonjakkan nilai komersial saingan bola sepak negara tersebut dengan pemain itu dijangka akan menggegar dengan ketajaman di depan pintu gol.
Akan tetapi, peluang untuk menyaksikan Ronaldo berada di saingan bola sepak Asia mungkin tidak akan selama mana yang kita sangkakan.
Hal ini kerana, di dalam kontrak Ronaldo bersama-sama Al-Nassr, ketua pasukan Portugal itu boleh meninggalkan kelab tersebut pada bila-bila masa dengan bersyarat.
Menurut MARCA, syarat tersebut adalah pemain tersebut boleh dipinjamkan kepada kelab Eropah yang berjaya layak ke saingan UEFA Champions League (UCL) pada musim hadapan.
Ini merupakan satu klausa yang membolehkan Ronaldo untuk kembali ke saingan terulung Eropah itu sekiranya ada kelab yang berminat mahukannya.
Jalan singkat untuk Ronaldo kembali ke saingan UCL adalah dengan menyertai Newcastle United secara pinjaman pada musim hadapan.
Hal ini kerana, kedua-dua Al-Nassr dan Newcastle adalah kelab yang dimiliki oleh pihak yang sama iaitu Saudi Arabia Public Investment Fund.
Namun begitu, Newcastle kendalian Eddie Howe haruslah menamatkan saingan Premier League dalam kedudukan empat terbaik pada musim ini.
Dan setakat ini, mereka dalam landasan terbaik dengan Magpies kini menduduki tangga ketiga di belakang Arsenal dan Manchester City.
Oleh kerana hubungan yang dimiliki ini, ianya boleh menjadi jalan pintas kepada Ronaldo untuk kembali semula ke saingan bola sepak Eropah selepas tiada kelab yang mahukannya pasca penyingkiran daripada United.
Ronaldo sentiasa terliur untuk beraksi dalam saingan tertinggi Eropah kerana mahu meneruskan legasinya yang begitu gemilang dalam saingan UCL.
Ronaldo telah memenangi kejohanan ini sebanyak lima kali dengan beliau adalah penjaring terbanyak saingan tersebut dalam sejarah.