Ronaldinho Gaucho: Kisah Di Sebalik Senyuman Membunuh & Simbolik Joga Bonito

Ronaldinho Gaucho terkenal dengan aksi bermain bola sepak, disertai dengan senyuman lebar yang memperagakan giginya yang lebar.

Ayat penyata ini mungkin dibaca oleh anda dengan nada sedikit melucukan.

Tetapi tahukah anda ianya adalah senyuman paling membunuh di dalam dunia bola sepak?

Ada apa dengan Ronaldinho?

Jika anda adalah pemain pertahanan lawan yang berhadapan dengan Ronaldinho, senyuman tersebut membawa perkhabaran berita buruk.

Kemampuan beliau untuk melepasi pertahanan lawan, dengan gaya bola sepak ‘ginga Brazil’, menguis dan menyungkit bola melepasi kepala lawan berulang kali, sering kelihatan menghiburkan siapa sahaja yang menontonnya.

Aksi beliau sering disertai dengan senyuman kerana ia diperagakan dengan falsafah bola sepak yang mudah: Ekspresikan diri anda di atas padang. Lakukan apa yang anda gemar lakukan. Paling penting, Ronaldinho seronok dengan apa yang dihasilkan.

Barcelona’s Ronaldinho takes on Celtic’s Stanislav Varga (l) and Neil Lennon (r) (Photo by Matthew Ashton/EMPICS via Getty Images)

Gerakan beliau di atas padang kelihatan semulajadi dan bersahaja. Gerakannya dialihkan ke satu arah, kemudian dengan pantas ke arah yang lain; diikuti oleh gerakan pinggul dan tindak balas kaki yang pantas.

Tidak percaya? Saksikan jaringan Ronaldinho ketika menentang Chelsea pada 2005.

Ia persis lagak seorang kasanova di kelab malam. Perhatikan juga bagaimana beliau meraikan jaringan.

Mungkin benar. Gaya hidup Ronaldinho turut tidak pernah sunyi daripada buruan media.

Segala lagak ketika menjaringkan gol, atau ketika meraikannya, ia hanya gambaran bagaimana Ronaldinho sangat cintakan sukan bola sepak.

Di atas padang, Ronaldinho ialah kasanova bagi mereka yang menyaksikan aksi beliau.

Dunia diperkenalkan kepada Ronaldinho

Anda boleh namakan siapa sahaja pemain terbaik dunia sepanjang zaman tanpa mempertimbangkan Ronaldinho. Dan ia akan sentiasa menjadi perdebatan.

Baik Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi, atau ketika era Diego Maradona dan Pele, hanya akan ada satu nama Ronaldinho yang mampu mengujakan- pada masa yang sama membuatkan anda tersenyum dengan kelincahan bersahaja di atas padang.

Ronaldinho of Brazil during a photoshoot with a Brazil jersey in Barcelona, Spain on 22th April 2004 ( Photo by Alain Gadoffre / Onze / Icon Sport )

Di kemuncak prestasi beliau, Ronaldinho tidak mempunyai seteru. Malah prestasi dan kebolehan beliau melangkaui pemain-pemain lain di zaman dan era tersebut.

Ketika rakan senegara, Ronaldo sedang berada di kemuncak prestasi, Ronaldinho adalah bakat yang sedang meningkat naik dan dahagakan perhatian dunia.

(Photo by Andreas Rentz/Bongarts/Getty Images)

Di skuad kebangsaan Brazil, bersama-sama Ronaldo dan Rivaldo, Ronaldinho membentuk gandingan yang dikenali sebagai ‘Three R’, menjadi tunjang kekuatan Brazil bergelar juara dunia di Jepun dan Korea Selatan pada 2002.

Di Piala Dunia 2002 itulah, Ronaldinho memperagakan aksi pertama di pentas tertinggi global. Anda pasti boleh mengingati bagaimana sepakan percuma yang mengelirukan penjaga gol England, David Seaman di kejohanan tersebut.

Pemain ini bukan sahaja membuktikan dirinya mempunyai gaya ketika di atas padang. Malah jaringan menentang England tersebut membuktikan dirinya seorang pemain yang mempunyai pemikiran yang bijak dan tajam untuk menghukum lawan.

Selepas itu, pentas bola sepak dunia adalah milik Ronaldinho.

Dari PSG ke Barcelona

Selepas membantu Brazil menjuarai Piala Dunia pada 2002, khabar angin Ronaldinho bakal ke Sepanyol semakin bertiup kencang. Pada ketika itu, ia sama ada ke Real Madrid atau Barcelona.

Pada 2003 akhirnya Ronaldinho diumumkan sebagai pemain di Nao Camp, setelah Real Madrid memilih untuk membawa masuk David Beckham, dipercayai kerana nilai komersil kapten England tersebut.

(Photo By Shaun Botterill/Getty Images)

Walaupun bukan pilihan Real Madrid atas sebab komersil, Ronaldinho membuktikan aksi di atas padang mampu memberikan pulangan yang setimpal buat Barcelona.

Gol pertama Ronaldinho untuk gergasi Catalan tersebut adalah magis. Beliau menggelecek daripada bahagian tengah padang, menewaskan dua pemain Sevilla, sebelum melepaskan rembatan deras yang mengena bahagian atas palang gol sebelum menerjah masuk.

Anda tidak boleh menyalahkan Frank Rijkaard yang meletakkan tangan di atas kepala kerana separuh percaya akan jaringan tersebut. Ia adalah gol sulung daripada Ronaldinho yang menakjubkan buat Barcelona.

Ikon bola sepak di mana sahaja

Musim pertama bersama Barcelona, Ronaldinho memenangi Anugerah Pemain Terbaik FIFA. Musim berikutnya pada 2004/05, pencapaian beliau setakuk lebih baik, dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or, setelah membawa Barcelona menjuarai La Liga buat pertama kali dalam tempoh enam musim.

(Photo by Denis Doyle/Getty Images)

12 bulan kemudian, Ronaldinho gah bersama-sama Barcelona bergelar juara UEFA Champions League.

Di dalam kempen yang sama, perancang tengah dan bintang Brazil itu turut tampil sebagai penjaring kedua tebanyak, dan menghasilkan bantuan gol tertinggi di pertandingan elit eropah tersebut.

Barcelona’s Ronaldinho (r) and Carles Puyol (l) celebrate with the trophy (Photo by Jon Buckle – EMPICS/PA Images via Getty Images)

Pada 2005, Ronaldinho dan Barcelona menunjukkan kepada Real Madrid apa yang mereka kerugian dua tahun lalu.

Ketika bertandang ke Estadio Santiago Bernabeu untuk berhadapan dengan barisan Galaticos seperti Zinedine Zidane, Ronaldo dan juga Beckham.

(Photo credit should read LLUIS GENE/AFP/Getty Images)

Ronaldinho menghadirkan mimpi ngeri yang tidak terlupa dan dikenang sehingga ke hari ini sebagai antara El-Clasico terhebat sepanjang zaman.

Siapa yang tidak akan jatuh hati dengan aksi Ronaldinho? Walaupun Real Madrid tewas 3-0 dalam pertandingan tersebut, ia mencipta sejarah tersendiri apabila Ronaldinho diberikan penghormatan (standing ovation) oleh penyokong seteru terhebat mereka itu.

Nilai komersil Ronaldinho

Beberapa bulan selepas itu, syarikat jenama sukan terkemuka, Nike memulakan kolaborasi dengan Ronaldinho, dengan menjadikan beliau bintang You Tube.

Ia adalah sebahagian daripada kaedah pengiklanan kasut but oleh syarikat dari Amerika Syarikat itu.

(Photo credit should read JUNG YEON-JE/AFP/Getty Images)

Video tersebut memamaparkan Ronaldinho memperagakan kebolehan teknikal dan skill menimang bola, dan melepaskan rembatan berulang kali ke arah palang gol, tanpa bola menyentuh permukaan padang.

Sukar membayangkan David Beckham melakukan perkara yang sama dengan jayanya bukan? Pada era itu, tidak ramai yang mengenali dan mempunyai akses kepada You Tube.

Video tersebut telah menjadi antara video terawal di dunia sukan yang mencapai 1 juta tontonan ketika itu.

Tetapi tahukah anda bahawa iklan tersebut, penghormatan oleh penyokong Real Madrid dan kejuaraan UCL tersebut adalah permulaan kepada pengakhiran karier hebat Ronaldinho?

Permulaan kepada pengakhiran

Piala Dunia 2006 adalah antara yang paling mengecewakan sepanjang karier antarabangsa Ronaldinho. Beliau gagal membantu Brazil untuk mara jauh, setelah disingkirkan oleh Perancis di peringkat suku akhir.

(Photo by Stuart Franklin/Bongarts/Getty Images)

Di saingan peringkat domestik, Real Madrid kembali bangkit untuk mendominasi. Ini diikuti oleh kebangkitan Lionel Messi di kelab Catalan tersebut. Ronaldinho akhirnya meninggalkan Barcelona pada Julai 2008.

Ronaldinho bukan lagi pemain yang sama selepas itu. Walaupun membantu AC Milan menjuarai Serie A pada musim 2010/11, Ronaldinho hanya tampil di dalam 76 perlawanan, dan menjaringkan 20 gol sepanjang tiga musim bersama kelab Milan tersebut.

(Photo by Miguel Schincariol/LatinContent/Getty Images)

Beliau kemudiannya kembali ke Brazil untuk menyertai Flamengo, dan sempat mewujudkan perseteruan dengan Neymar.

Dalam satu perlawanan berhadapan Neymar dan Santos, Ronaldinho seolah-olah memberi pengajaran kepada pemain muda Brazil tersebut pada ketika itu.

(Photo credit should read Douglas Magno/AFP/Getty Images)

Diinspirasikan magis Ronaldinho, Flamengo bangkit dari ketinggalan 3-0 untuk memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 5-4.

Bersama Atletico Mineiro kemudiannya, Ronaldinho mempersembahkan saki baki magis miliknya, membantu kelab Brazil itu muncul juara Copa Libertadores pada 2013.

Penutup

Selepas itu Ronaldinho pergi ke Mexico, dan kemudiannya India untuk menceburi futsal. Sepertimana pemain terkemuka dunia yang lain, kita mungkin mengharapkan Ronaldinho untuk pergi lebih jauh di dalam kariernya.

Bagaiamana jika Ronaldinho mempunyai disiplin lebih baik ketika berada di luar padang? Bagaimana jika Ronaldinho lebih serius ketika latihan? Bagaimana jika beliau kekal di Barcelona ketika Pep Guardiola tiba?

Lupakan soalan-soalan tersebut. Hidup ini penuh misteri. Satu perkara yang pasti ialah, gerak pinggul magis, gerakan kaki persis tarian itu, jiwa samba, dan sudah tentunya senyuman lebar itu akan sentiasa diabadikan peminat bola sepak di era Ronaldinho.

Joga Bonito atau The Beautiful Game. Ronaldinho telah menunjukkan kepad dunia, bagaimana bola sepak itu harus dimainkan.

Bermain dengan jiwa, bermain dengan senyuman.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN