Pasukan yang begitu aktif ketika jendela perpindahan, Everton bimbingan Ronald Koeman berjaya menarik nafas lega apabila berjaya mengelakkan dari mengalami kekalahan ke-4 berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris setelah menundukkan Bournemouth 2-1 pada Sabtu lalu.
Ketinggalan menerusi jaringan Joshua King pada awal babak kedua, Koeman melakukan pertukaran apabila memasukkan Baye Oumar Niasse bagi menggantikan Wayne Rooney.
Pertukaran tersebut ternyata membuahkan hasil yang lumayan buat Everton apabila pemain berasal dari Senegal itu berjaya menjaringkan dua gol untuk kembali meredakan tekanan yang melanda pasukan tersebut.
Kemenangan itu meletakkan The Toffees kini ditangga ke-14 liga setelah mencatatkan 7 mata.
Sumbangan bermakna yang diberikan Niasse itu mendapat pujian daripada Ronald Koeman.
”Dia mempunyai kualiti yang apabila kita sedang bergelut, dia bertambah agresif dan bermain secara terus yang memberikan masalah buat lawan. Untuk gol pertama dia berjaya memenangi bola di bahagian tengah, melakukan gerakan satu dua dan itu merupakan gol yang hebat.”
”Tiada siapa dapat menghentikannya ketika itu. Dia melakukannya dengan baik dan segala kredit harus diberikan kepadanya,” kata Koeman kepada laman web rasmi Everton.
Koeman menambah: ”Dia boleh memainkan peranan yang besar buat kami. Ini merupakan peluang buat pemain dan untuk penyerang, produktiviti. Oumar beraksi pada Rabu lalu (menentang Sunderland) dan menjaringkan satu gol. Hari ini (bertemu Bournemouth) dia mempunyai banyak masa di atas padang dan dia merupakan salah seorang pemain yang membantu kami meraih kemenangan.”
Ronald Koeman juga gembira dengan karakter yang dipamerkan anak buahnya selepas melakukan perubahan dalam sistem permainan.
”Aksi pada separuh masa pertama adalah ‘ok’. Kami tahu bahawa Bournemouth adalah pasukan yang bagus dan bertahan dengan baik, jadi ianya menyukarkan kami. Kami tidak banyak mencipta peluang dan ianya tidak mencukupi pada babak pertama,” kata Koeman.
”Ketinggalan 1-0 pada babak kedua membuatkan situasi menjadi sangat sukar tetapi kami melakukan yang terbaik dimana kami mengubah sistem, untuk beraksi berbeza dari apa yang kami biasa tampilkan dan kami menunjukkan karakter yang hebat.”
”Anda tidak boleh sentiasa beraksi dengan cara yang sama dan ianya adalah kualiti pasukan yang hebat sekiranya anda dapat mengubahnya. Kami bermain dengan dua orang penyerang dan ini membantu Dominic Calvert-Lewin apabila Oumar masuk ke padang.
Sumber :
Everton FC (2017) – http://www.evertonfc.com/news/2017/09/23/koeman-niasse-has-seized-opportunity