Romelu Lukaku Pernah Dedah Masalah Man Utd Dan Ia Masih Berlaku Hingga Sekarang

Romelu Lukaku pada tahun 2019 lalu pernah mendedahkan sisi gelap yang berlaku dalam bilik persalinan Man Utd dan turut menceritakan kisah-kisah yang berlaku dalam kem Red Devils.

Seandainya Manchester United ada berhasrat mahu kembali ke puncak pada ketika ini, ia merupakan satu misi yang agak mustahil untuk mereka capai.

Skuad Red Devils tidak dinafikan lagi sememangnya sedang dalam keadaan yang sangat huru-hara pada ketika ini, dengan mereka sudah menukar beberapa pengurus dan masih dalam usaha mencari pengurus tetap yang paling layak.

Ketibaan Ralf Rangnick juga masih gagal untuk mengubah keadaan di Old Trafford, dan United juga perlu mencari pengurus tetap untuk mengendalikan United bermula pada musim panas nanti.

Lebih banyak dana yang akan dikeluarkan oleh pihak kelab selepas ini, namun adakah ia akan menjanjikan perubahan? Tiada siapa mampu menjawab persoalan tersebut.

Masalah utama United pada ketika ini bukan hanya aksi di atas padang, namun mereka juga sangat bergelut dengan masalah dalaman yang parah.

Rahsia bilik persalinan didedahkan

Tidak dinafikan beberapa maklumat rahsia bilik persalinan kelab turut didedahkan oleh para pemain dan sumber dalaman kelab kepada media sejak kebelakangan ini.

Antara yang paling hangat dibincangkan pada ketika ini adalah isu yang mana para pemain tidak gemar dengan kaedah latihan yang diterapkan oleh Ralf Rangnick.

Lebih parah lagi, ada maklumat dari sumber dalaman kelab yang mendedahkan bahawa para pemain menggelar pembantu Ralf Rangnick, Chris Armas sebagai ‘Ted Lasso‘.

Ketika era Sir Alex Ferguson dahulu, hal seperti ini tidak mungkin akan dapat dilihat dengan hal-hal yang melibatkan rahsia dalaman kelab tidak akan didedahkan kepada pihak lain.

Para pemain juga sangat berdisiplin dan tidak akan senantiasa menghormati pengurus dan juga kesemua tenaga kejurulatihan kelab.

Pendedahan Lukaku pada tahun 2019

Isu ini sebenarnya sudah lama berlaku yang mana pada tahun 2019 lalu, Romelu Lukaku mendedahkan tentang kekacauan yang berlaku dalam kem United.

Lukaku ketika itu telah ditemu bual dalam satu podcast tidak lama sebelum beliau menandatangani perjanjian bersama Inter Milan.

https://twitter.com/MikeLUHG0/status/1492993726188298241?t=j0FvUfMh3LkZig7-ZoK-qw&s=19

Rekod jaringan bintang Belgium itu di Old Trafford juga tidaklah begitu teruk dengan beliau berjaya menjaringkan 42 gol dari 96 perlawanan sepanjang kariernya bersama Man United.

Walau bagaimanapun, Lukaku jelas sekali gagal untuk memenangi hati para peminat, dan sering menjadi mangsa kecaman hingga beliau memilih untuk meninggalkan kelab selepas dua musim di Old Trafford.

Lukaku mendedahkan segala hal tersebut dalam podcast LightHearted, dengan beliau ketika itu menjelaskan tentang bagaimana perasaannya menjadi kambing hitam ketika United sedang bergelut dan mengapa beliau memutuskan untuk pergi.

“Mereka perlu mencari pesalah. Jika mereka mahu meletakkan kesalahan ke atas saya, lantak lah. Saya tahu apa yang telah saya lalui dan ini hanya bola sepak.”

Jelas Lukaku.

“Saya di sini dan bermain, tapi sampai satu tahap saya akan pergi. Saya akan lakukan hal lain. Bagi saya semua itu sampah.”

https://youtu.be/CDRsm8dW51E

“Pasukan ini ada potensi yang cukup besar untuk lakukan pelbagai hal yang hebat. Ramai bakat, tapi ia bukan hanya tentang bakat, ia tentang membina sebuah pasukan.”

“Ramai orang tak fikir yang saya layak untuk jadi sebahagian dari pasukan. Bagi saya, saya cuma kata, jika sudah seperti itu, maka lebih baik kami mengikut haluan masing-masing.”

“Kamu semua boleh cari seseorang yang betul-betul sesuai dan saya boleh pergi.”

Lukaku yang kini kembali ke saingan Premier League menyertai Chelsea kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan:

“Mereka perlu mencari seseorang. Ia mungkin (Paul) Pogba, atau saya atau Alexis (Sanchez). Selalunya kami bertiga.”

“Bagi saya, perkara yang buatkan saya ketawa besar di sini adalah bagaimana teruknya saya bersama pasukan ini, tapi ketika saya bersama skuad kebangsaan saya, semuanya baik-baik sahaja.”

“Maka saya percaya ada yang tak kena, adakah itu saya? Saya tak bermain sejak tiga minggu pada musim ini dan tiga minggu lagi saya bersama skuad kebangsaan saya. Tapi sepanjang saya di sana tiada siapa bising.”

“Ketika saya pergi dan bermain untuk negara saya, kami bermain dengan cara yang saya boleh katakan United mahu lakukan dan saya boleh lakukan dengan baik di sana (Belgium).”

Lukaku turut bercakap tentang kekecewaan beliau terhadap United sendiri yang gagal menjawab tentang rumours beliau mahu meninggalkan kelab ketika hal tersebut tersebar.

“Saya rasa banyak hal yang sudah dikatakan, yang mana saya rasa tak dilindungi.”

Tambah Lukaku lagi.

“Banyak rumours, ‘Rom mahu ke sana, mereka tak mahukan Rom’ dan tak ada sesiapa yang tampil dan jelaskan tentang semua rumours tersebut.

“Ia berlanjutan sehingga tiga ke empat minggu. Saya menanti seseorang untuk tampil dan jelaskan keadaan sebenar. Tapi itu tak berlaku. Saya cuma mahu mereka kata, ‘Rom akan berjuang untuk dapatkan tempat dia.’ itu saja tapi ia tak pernah berlaku selama tempoh empat ke lima bulan.”

“Semua yang saya dengar, ‘Dia perlu pergi, dia tak berhak berada di sini. Jadi baiklah, saya mahu pergi sekarang.”

“Saya mahu berjuang untuk mendapat tempat, tapi saya mahu berada di tempat yang mana orang mahu saya ada di sana. Saya beritahu mereka yang tak bagus sebenarnya untuk saya berada di tempat yang mereka tak mahu saya ada di sana.”

“Kita tak bodoh. Mereka anggap kita bodoh, tapi kita tak bodoh, kita tahu siapa yang dedah semua hal. Saya beritahu mereka, kamu tak boleh buat kerja macam ini, saya rasa lebih baik saya pergi sekarang.”

“Kamu juga tentu tak mahu simpan pemain yang tak gembira dan kamu jelas sekali tak nak saya berada di sini.”

Pendedahan maklumat, kambing hitam, masalah keharmonian, semua itu sudah berlaku sejak tiga tahun lalu dan masih belum berubah hingga sekarang.

Jadi jelas sekali perkara paling penting yang United perlu ubah untuk kembali menjadi pasukan yang digeruni adalah selesaikan semua masalah dalaman kelab terlebih dahulu.

Tidak guna ada 11 bintang besar dalam kesebelasan utama andai tiada keharmonian dan kesefahaman antara mereka. Setuju? Bincangkan diruangan komen.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN