Quantcast

BERITA

Romania Letak Masalah Matematik Di Jersi Untuk Galak Kanak-Kanak Minat Matematik

“Bola sepak dan matematik bukanlah dua perkara yang berasingan,” menurut presiden Persatuan Bola Sepak Romania, Razvan Burleanu.

Matematik mempunyai banyak aplikasi dalam bola sepak. Dari menilai tahap kewangan pasukan sehinggalah kepada menilai tahap persembahan pemain, bola sepak menawarkan banyak peluang kerjaya kepada peminat subjek matematik di sekolah.

Inilah mesej yang cuba disemai oleh pasukan kebangsaan Romania kepada kanak-kanak di negara mereka – matematik itu subjek yang menyeronokkan.

Dalam persiapan pasukan kebangsaan Romania sebelum perlawanan persahabatan menentang Sepanyol yang berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia), pemain Romania menukar nombor jersi mereka kepada masalah matematik.

romania math 2

Kapten Romania, Vlad Chiriches yang biasanya memakai nombor 6 misalnya, mempunyai masalah matematik 2 x 2 + 2 tertera di belakang jersi latihannya.

Usaha ini dilakukan untuk membantu masalah minat rendah kanak-kanak Romania terhadap pendidikan sekolah.

Menurut rekod European Union (EU), kadar kanak-kanak Romania yang tidak menghabiskan persekolahan pada tahun 2014 adalah setinggi 18% – paling tinggi di Eropah.

Sebagai perbandingan, kadar kanak-kanak Malaysia yang tidak menghabiskan persekolahan pada tahun 2012 adalah 3.6%.

Persatuan Bola Sepak Romania melihat integrasi masalah matematik ini dengan sukan bola sepak mampu menarik minat kanak-kanak untuk menyelesaikan masalah matematik tersebut, sekaligus memberi mereka sebab untuk kekal bersekolah.

“Melalui projek ini, kanak-kanak akan belajar asas bola sepak dan mempunyai peluang untuk memepelajari matematik melalui pendekatan yang menarik.”

Romania seri 0-0 dengan Sepanyol awal pagi tadi.

Selepas bergelar naib juara kumpulan kelayakan EURO 2016 di belakang Ireland Utara, Romania layak ke EURO 2016 pada musim panas nanti. Mereka akan bertemu tuan rumah, Perancis dalam perlawanan pembukaan pada 10 Jun 2016 nanti.

Selain Perancis, Romania turut akan berhadapan dengan Switzerland dan Albania dalam perlawanan kumpulan mereka di EURO 2016 nanti.

Kami berharap negara-negara lain juga akan melakukan perkara sama untuk menarik minat kanak-kanak terhadap subjek matematik, termasuklah Malaysia.

Baca juga: 6 Rahsia Kejayaan Bola Sepak Iceland, Negara Paling Kecil Yang Layak EURO 2016