Perlawanan Real Madrid menentang Galatasaray di Santiago Bernabeu dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada awal pagi tadi pastinya akan kekal terpahat di minda pemain muda kelahiran Brazil, Rodrygo.
Pemain sayap berusia 18 tahun itu mencuri tumpuan ramai selepas meledakkan hatrik yang sekaligus membantu Real Madrid mencatatkan kemenangan 6-0 menentang wakil dari Turki tersebut.
Lebih menarik untuk diperkatakan, dua daripada tiga jaringan yang dijelmakan itu hadir dengan begitu pantas iaitu pada minit keempat dan ketujuh.
Hatrik itu juga dilabelkan sebagai ‘hatrik sempurna’ kerana ia melibatkan jaringan menggunakan kaki kanan, kiri dan kepala.
”Memang benar apabila semuanya berjalan dengan lebih cepat daripada apa yang saya jangkakan ketika saya tiba di Real Madrid.”
”Ia merupakan malam yang sangat menggembirakan saya. Mimpi menjadi kenyataan apabila mendengar [penyokong] Bernabeu menyanyikan nama saya.”
”Tetapi saya perlu untuk bertenang dan terus bekerja dari hari ke hari.”
Produk keluaran Santos itu diikat Real Madrid pada Jun 2019 dengan nilai perpindahan berjumlah €45 juta dan beliau dilabel oleh Presiden Real Madrid, Florentino Perez sebagai ‘seorang pemain dengan kebolehan luar biasa yang hebat’.
Kredit foto: Marca