Kelab divisyen dua Liga Jepun, Roasso Kumamoto tertarik dengan kemampuan penyerang skuad bawah 23 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak ketika menjalani latihan dengan kelab tersebut.
Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada yang turut berada bersama Hadi semasa sesi latihan semalam mengesahkan barisan kejurulatihan Roasso Kumamoto terpikat dengan aksi Hadi di Padang Latihan Akademi Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) itu.
“Hadi beraksi dengan baik pada sesi latihan hari ini (semalam). Jurulatih Nakayama memaklumkan kepada saya bahawa beliau kagum dengan kemampuan Hadi yang memiliki aksi tindak balas yang baik berbanding pemain di sini.
“Selain itu, dia mempunyai kelebihan dari sudut fizikal dengan ketinggian yang dimilikinya menjadikan ia sebagai satu aset,” katanya kepada Berita Harian.
Mengulas mengenai sesi latihan dengan kelab tersebut, Hadi mengaku gembira dan menyifatkan peluang ini sebagai medan terbaik untuk meningkatkan prestasinya.
“Syukurlah latihan saya berjalan dengan lancar. Saya melihat perbezaan berkaitan kaedah latihan di sini yang banyak menggunakan hantaran pendek dan tempo permainan pantas.
“Pemain di sini juga bagus kerana berani untuk belajar benda baru dan tidak takut untuk membuat silap. Mereka mempunyai kemahiran yang baik dan saya merasakan bahawa saya boleh menjadi pemain yang bagus jika berlatih di sini,” katanya