RM268,000 Seminggu Tak Cukup, Abraham Nak Gaji RM696,000 Macam Hudson-Odoi

Abraham Hudson-Odoi Gaji

Penyerang Chelsea, Tammy Abraham mahu diberikan kontrak baharu yang membolehkan gajinya sama dengan seorang lagi graduan akademi Chelsea, Callum Hudson-Odoi yang mendapat £130,000 (RM696,000) seminggu.

Abraham yang kini menerima gaji £50,000 (RM268,000) seminggu merupakan salah seorang pemain The Blues yang menyerlah musim ini dengan sudah menjaringkan 16 gol dalam semua pertandingan dan telah dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan England.

Kontrak pemain berusia 22 tahun itu di Stamford Bridge pada waktu ini masih berbaki dua tahun dan mahu pihak pengurusan kelab berterus terang mengenai masa depannya.

Akhbar The Times melaporkan, selepas Chelsea mendapatkan Timo Werner dan Hakim Ziyech, Abraham kini menunggu siapa lagi pemain yang akan dibawa masuk pada musim panas ini sebelum membuat keputusan mengenai hala tuju dan komitmennya kepada kelab tesebut.

Sekiranya Chelsea mahu mengekalkannya, beliau bersedia untuk terus setia bersama dengan Chelsea dengan syarat gajinya hendaklah sama seperti mana yang diterima oleh Hudson-Odoi ketika ini.

Hudson-Odoi yang sebelum ini diburu oleh beberapa kelab Eropah telah menandatangani kontrak baharu selama lima tahun pada September lepas dan Abraham percaya belau juga layak untuk mendapat gaji melebih £100,000, apatah lagi dengan sumbangannya selaku penjaring gol.

Bagaimanapun, pengurus Chelsea, Frank Lampard menegaskan tiada keperluan untuk tergesa-gesa berunding mengenai kontrak pemain tersebut.

“Kontrak Tammy bukannya di tahap kritikal lagi dan saya akan serahkan kepada pihak pengurusan kelab untuk berbincang,” kata Lampard.

“Memang dia sedang melalui musim yang baik, tetapi dia perlu terus fokus untuk memberikan aksi terbaik seperti mana Tammy yang kami ada pada awal musim ini di mana beliau konsisten menjaringkan gol.

“Mungkin anda ada lihat bagaimana prestasi baiknya pada minggu ini. Itulah yang dia perlu kekalkan sepanjang masa,” kata bekas pemain Chelsea itu lagi.

Prestasi Abraham sejak kebelakangan ini menjadi persoalan selepas beliau akhirnya cuma mampu menamatkan kemarau jaringan selepas 10 perlawanan ketika menyumbat satu gol ketika Chelsea menang tipis 3-2 ke atas Crystal Palace.

Keadaan itu menjadikan Olivier Giroud kini lebih kerap menjadi pilihan utama dan beraksi dengan baik. Chelsea hanya tewas sekali sahaja sejak saingan Liga Perdana Inggeris bersambung dan kini menduduki tangga ketiga selepas memintas Leicester City.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Tammy Abraham dan Chelsea:

Leave a Reply