Pemain sayap Manchester City, Riyad Mahrez melaungkan keyakinan bahawa The Cityzens memiliki segala yang diperlukan bagi menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim ini.
Meskipun saingan paling berprestij Eropah itu turut dihentikan susulan serangan wabak COVID-19 pada Mac lalu, laporan menyebut berkemungkinan ia akan bersambung semula pada Ogos nanti.
Manchester City juga memiliki sedikit kelebihan selepas berjaya menumpaskan Real Madrid 2-1 pada aksi pertama pusingan 16 yang berlangsung di Santiago Bernabeu hasil jaringan Gabriel Jesus dan Kevin De Bruyne.
Kelebihan defisit satu gol serta memiliki bekalan dua jaringan di tempat lawan harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak buah Pep Guardiola itu menjelang aksi kedua di laman sendiri pada satu tarikh baharu yang bakal ditetapkan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Sehubungan dengan itu, Mahrez melihat inilah peluang terbaik buat Manchester City untuk merealisasikan impian tersebut.
”Saya rasa ini adalah merupakan masa yang cukup sesuai buat kami untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah.”
”Kami mempunyai pasukan, pengurus dan mempunyai segala-galanya, jadi ini adalah masa yang baik.”
”Saya tidak tahu sekiranya kami adalah yang terbaik, tetapi kami cukup baik untuk memenanginya. Cabaran di Liga Juara-Juara Eropah sangat sukar, semua orang mahu memenanginya, jadi ia akan menjadi satu pertarungan yang besar,” ujar Mahrez menurut laporan Goal.
Saingan kali ini memberikan makna yang lebih besar buat Manchester City dan perlu melakukan tugasan ini dengan cemerlang kerana kelab tersebut terpaksa melupakan saingan UCL untuk dua musim selepas ini setelah dihukum susulan melanggar Financial Fair Play oleh UEFA.