Dua gol peribadi Mason Greenwood telah membantu Manchester United membenam pasukan bergelut, Bournemouth 5-2 dalam aksi Premier League malam tadi.
Sebelum ini, Semuanya BOLA pernah menulis mengenai transformasi penyerang muda Manchester United itu selepas perintah sekatan pergerakan yang menyaksikan beliau telah berubah secara total, fizikal dan juga gaya permainannya.
Bang! Bang!
Lagenda Manchester United, Rio Ferdinand sebagai reaksi selepas melihat jaringan yang dihasilkan pemain berusia 18 tahun itu, telah memuat naik video dengan kapsyen, “Wow! Mason Greenwood. Satu perkataan untuk menjelaskannya: kejam!”
Ia mungkin merujuk kepada jaringan menerusi rembatan kaki kiri Greenwood yang menewaskan penjaga gol muda, Aaron Ramsdale dari dalam kotak penalti pada minit ke-29, untuk memadamkan kelebihan jaringan awal Junior Stanislas pada minit ke-16.
“Ia bukan lagi mengenai penjaga gol tersebut tetapi kini ianya adalah tentang Mason Greenwood. Bang! Langsung tidak beri peluang. Bang! Ambilah rembatan deras itu!” ungkapnya yang kini bertugas sebagai pengulas bola sepak bersama Sky Sport.
Sebelum gol tersebut terhasil, Ramsdale beraksi dengan cemerlang menafikan deretan peluang yang dicipta oleh anak didik Ole Gunnar Solskjaer dan selepas jaringan padu itu, memang benar, tumpuan tidak lagi kepada Ramsdale tetapi Greenwood.
Solskjaer: Hanya langit pemisahnya
Solskjaer berkata selepas perlawanan, “Kami bermain dengan baik sepanjang musim ini dan telah memberikannya banyak pendedahan, lebih banyak masa permainan.
“Anda tahu, tidak mudah menjadi pemain muda. Dia masih boleh bermain bersama pasukan remaja musim ini, jadi dia adalah pemain muda yang harus kita jaga. Hanya langit yang akan menjadi pemisahnya. Segalanya terserah kepadanya,” jelasnya.
Untuk musim ini, Greenwood telah tampil sebanyak 26 kali dalam saingan Premier League dengan tujuh kali berada dalam kesebelasan utama pasukan. Menariknya, walaupun lebih banyak tampil sebagai pemain gantian, beliau telah meledak lapan gol.
Selain itu, dua jaringannya malam tadi telah membolehkannya untuk tersenarai bersama Wayne Rooney sebagai pemain muda pertama yang meledak 15 gol dalam satu musim selepas Rooney – menjaringkan 17 gol pada musim 2004/05.
Memiliki rembatan padu
Solskjaer dilihat bijak dalam menggunakan pemain muda ini disaat mungkin ramai yang berpendapat yang beliau terlalu muda untuk bersama pemain senior lain. Tetapi, sejak kebelakangan ini, Greenwood sangat berkesan bersama Bruno Fernandes.
Kerap kali diletakkan di sayap kanan dalam formasi 4-2-3-1, Greenwood yang boleh menggunakan kedua-dua belah kakinya itu akan menyusup masuk ke tengah ketika pasukannya menyerang. Dia juga bijak meloloskan diri daripada kawalan pertahanan.
Pemain yang dilahirkan oleh akademi Manchester United itu juga memiliki rembatan deras dengan hanya membuat sedikit backlift apabila melepaskan rembatan. Cuba anda lihat semula jaringan-jaringan yang telah dihasilkan termasuk gol semalam.
Gaya jaringannya itu akan mengingatkan semula kita kepada Jermain Defoe. Teknik yang seakan-akan hampir serupa ditambah dengan ketepatan dan ketenangan.
Penutup
Dengan saingan liga yang masih berbaki lima perlawanan, Greenwood dijangka boleh mengatasi rekod yang telah dicatatkan oleh Rooney sebagai pemain muda yang meledak banyak gol dalam satu musim – kini hanya dibezakan dua gol sahaja.
Dan ditambah dengan usia yang masih muda, jika kena gayanya, Greenwood boleh menjadi lagenda Manchester United pada satu masa nanti sebagaimana yang telah dilalui Rooney satu ketika dahulu – walaupun bukan pemain akademi mereka.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES