Ridzwan Bakri, Permata Berharga Futsal Negara Kebanggaan Tawau

Ridzwan

Peminat futsal negara serta pada yang mengikuti rapat perkembangan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 pasti amat mengenali pemain berjersi nombor 10 pasukan Perak ini, tak lain tak bukan iaitu Mohd Ridzwan Bakri.

Dengan skil individu dan kepantasan larian ‘bak lipas kudung’ serta kualiti penyudah baik yang dimiliki, kelibat pemain bertubuh kecil berusia 25 tahun ini mudah untuk menjadi bualan ramai.

Sehubungan dengan itu, tidak hairan juga pemain yang mesra disapa Iwan dalam komuniti futsal ini sentiasa menjadi pilihan dalam memperkuatkan skuad kebangsaan.

Serba ringkas mengenai Mohd Ridzwan Bakri

Ridzwan Bakri berasal dari Tawau, Sabah dan lahir pada 25 Ogos 1994. Merupakan anak kelapan daripada sembilan orang adik beradik.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu 4, Jalan Apas dan meneruskan pembelajarannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Apas, Tawau.

Tinggalkan bola sepak, pilih untuk aktif berfutsal

Ridzwan mula terdedah dengan futsal pada usia 13 tahun setelah seringkali menyertai pertandingan yang diadakan di kawasan sekitar tempat tinggalnya bersama rakan-rakan.

Kredit foto: Sabahawkians

Beliau mendapat peluang keemasan dalam hidupnya apabila hampir untuk diserapkan ke skuad Piala Presiden Sabah, namun atas beberapa sebab tertentu, Iwan meninggalkan sukan nombor satu tanah air itu dan kemudiannya memilih futsal bagi menyerlahkan bakat dimiliki.

Semuanya bermula pada tahun 2013 apabila Ridzwan terpilih untuk menyertai kontinjen Sabah dalam acara futsal di Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 di Kuala Lumpur.

SUKMA 2013 dan terus ‘berlari pantas’

SUKMA 2013 nyata menjadi titik tolak kepada perkembangan karier anak muda yang ketika itu berusia 19 tahun.

Dengan potensi besar mengiringi permulaan kariernya, Ridzwan telah diberikan tanggungjawab membawa cabaran skuad Sabah dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2013/14.

Ridzwan tidak perlu menunggu lama untuk membalas kepercayaan yang disandarkan kepadanya apabila menyumbat 41 gol pada musim tersebut sekaligus menjadikannya penjaring kedua terbanyak kejohanan dibelakang Khairul Rizuan Harif Pagilah dari Pahang.

Prestasi cemerlang ditampilkan Ridzwan sepanjang kejohanan telah mendapat perhatian panel pemilihan skuad futsal negara dan beliau mula mengintai peluang terbaik menyarung jersi skuad kebangsaan.

Kembara dalam kancah LFK & MPFL

Walaupun Ridzwan beraksi cemerlang pada musim pertama, Sabah masih gagal menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan teratas bagi melayakkan mereka beraksi dalam saingan Piala Felda.

Keadaan tersebut memberikan peluang buat beliau untuk berkelana buat seketika setelah khidmatnya ditagih Kedah sebagai pemain pinjaman.

Skrip yang serupa pada musim 2015 apabila Ridzwan beraksi untuk pasukan Sabah di peringkat liga manakala saingan piala pula beliau dipinjamkan kepada Selangor yang berjaya mara ke perlawanan akhir.

Penarikan diri Sabah pada saat akhir sebelum sepak mula LFK 2017 memaksa Iwan meninggalkan negeri tercinta untuk menabur bakti bersama Pahang.

Tidak kekok dengan persekitaran baharu buatnya, Ridzwan mencurahkan segala kelebihan yang dimiliki untuk menjadi sebagai antara tonggak pasukan dalam membantu Pahang menamatkan saingan ditempat ketiga.

Jodohnya bersama skuad ‘Tok Gajah’ itu bagaimapaun hanya bertahan semusim dan kemudiannya (2018) memilih untuk menyarung jersi Perak.

Pemergiannya ke Perak merupakan keputusan bijak yang diambil setelah Ridzwan berjaya menjadi penjaring terbanyak buat Perak dengan 21 jaringan dihasilkan.

Ia turut menjadikannya penjaring kedua terbanyak musim 2018 dibelakang rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, Azri Rahman yang ketika itu beraksi untuk Melaka United.

Lebih manis, Perak menamatkan saingan pada musim tersebut di kedudukan kedua, pencapaian terbaik sepanjang penyertaan mereka dalam kempen LFK.

Bagaikan sudah mula selesa dengan persekitaran di Ipoh, Iwan meneruskan khidmatnya bersama Perak pada musim ini bagi menghadapi edisi sulung MPFL 2019.

Membantu Perak menduduki tempat kedua saingan Liga Futsal Kebangsaan 2018.

‘Benih yang baik jika jatuh ke laut akan jadi pulau’, itulah peribahasa yang sesuai dikaitkan dengan Ridzwan Bakri terhadap kariernya di peringkat domestik. Sentiasa menjadi tonggak buat mana-mana pasukan disertainya.

Perkiraan tak rasmi yang dibuat, Ridzwan sudah menjaringkan lebih 100 jaringan dalam kancah Liga Futsal Kebangsaan bermula 2013/14 hingga 2018.

Ketika artikel ini ditulis selepas mengharungi 12 perlawanan MPFL 2019, beliau sudah menjaringkan 11 jaringan.

Pencapaian bersama skuad kebangsaan

Penampilan pertama Ridzwan bersama skuad kebangsaan adalah pada Kejohanan Futsal Jemputan Oceania Football Confederation (OFC) 2014 di Paita, New Caledonia.

Kejohanan tersebut menyaksikan skuad negara muncul juara walaupun tewas 1-4 pada aksi pembukaan bertemu New Zealand. Skuad negara kembali bangkit untuk menang pada tiga perlawanan berikutnya menentang Tahiti 5-2, Vanuatu 9-5 dan New Caledonia 6-3.

Ridzwan berjaya menjaringkan dua gol iaitu pada perlawanan menentang Tahiti dan Vanuatu.

Ketika beraksi menentang Indonesia pada Sukan SEA 2017 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam. Kredit foto: FAM

Antara kejayaan manis yang pernah dikecapi Ridzwan sepanjang pembabitannya bersama skuad kebangsaan adalah memenangi pingat perak ketika Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Selain itu di peringkat AFF pula, Ridzwan merasai dua aksi final pada edisi 2017 dan 2018 tetapi kedua-duanya ditewaskan oleh Thailand. Manakala dua kali menduduki tempat ketiga pada tahun 2015 dan 2016.

Kejuaraan Futsal AFC 2018 di Chinese Taipei menjadi pentas tertinggi dalam karier beliau bagi mengubati kedukaan terpaksa diketepikan pada saat akhir pada saingan 2016 (Uzbekistan) akibat kecederaan tumit.

Harapan buat liga dan futsal negara

Ridzwan ketika ditemui wakil Semuanya BOLA di Ipoh menyatakan kegembiraannya selepas tahap liga futsal di Malaysia sudah semakin menunjukkan peningkatan.

”Dengan adanya siaran langsung di Astro Arena serta perlawanan ‘home away’ yang diperkenalkan, perkembangan ini memang menggembirakan saya dan pasti semua peminat dan komuniti futsal turut meraikan perkara positif tersebut.”

”Diharapkan semuanya akan bertambah baik dari semasa ke semasa demi perkembangan sukan futsal itu sendiri.”

”Saya juga sebagai pemain, secara jujur memang mengimpikan untuk beraksi pada Piala Dunia dan menjadi sebahagian daripada sejarah yang tidak mustahil dapat direalisasikan seandainya semua pihak serius dalam meningkatkan mutu sukan futsal secara total.”

Kredit foto & Video: Perak Futsal & Astro Arena 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN