Pemain Tottenham Hotspur, Richarlison mendedahkan keputusannya untuk meninggalkan Everton demi menyertai kelab utara London itu disebabkan faktor wawasan.
Pada beliau, lebih baik tinggalkan Mersyeside dan berhijrah ke London demi mencapai kejayaan yang lebih besar dalam kariernya.
Menurut laman FourFourTwo, Richarlison mengatakan yang kurangnya cita-cita untuk mencapai kejayaan di tahap yang lebih tinggi membuatkan pemain itu memilih untuk meninggalkan kelab itu.
Padanya, projek yang direncana oleh Tottenham jelas sekali lebih baik berbanding dengan apa yang cuba dikecapi oleh Everton.
“Mungkin kerana pada hari ini mereka tidak ada cita-cita untuk mencapai kejayaan. Anda tahukan, kemahuan untuk memenangi perlawanan dan kejuaraan.
“Saya berada di sana selama empat tahun dan saya boleh nampak yang masih lagi jauh perjalanan untuk mereka mencapai perkara yang cukup hebat.
Richarlison bagaimana pun mengakui yang dirinya sebenarnya gembira apabila berada di Everton dengan kelab itu banyak membantu pemain itu untuk maju sebagai pemain.
“Saya gembira ketika berada di Everton dan saya bersyukur dengan semua yang saya belajar di sana,
“Mereka adalah sebuah kelab besar yang penuh dengan sejarah,” kata Richarlison.
Richarlison menyertai Tottenham untuk bersama-sama Antonio Conte dalam projeknya menaikkan nama kelab itu yang turut bersaing dalam kejohanan Eropah.
Projek Conte di Tottenham adalah yang paling besar dilakukan kelab itu kerana mereka mendapatkan pengurus yang cukup berkualiti dengan skuad yang dilihat mampu mencabar pelbagai kejuaraan.