Tajuk: Aktifkan Ramadanmu
Arahan: Nik Amir Mustapha
Dibintangi: Ahmad Khairil Anwar (Beto) – pemain Perak FA & Malaysia B-22
Terbitan: Lumatic Films
Durasi: 4 minit 24 saat
Bulan Ramadan bakal menjelang dan bagi yang menganut agama Islam, pastinya ia memberikan keseronokkan.
Kata orang, semakin dewasa semakin ia terasa nikmat Ramadannya. Mana tidaknya, waktu kita kanak-kanak kita lebih tak sabar nak sambut Syawal berbanding Ramadan bukan?
Ramadan dan bola sepak adalah satu perkara yang pada kasarnya tidak saling berkait. Namun begitu, ia sebenarnya ada kaitan!
Kisah sebenar
Aktifkan Ramadanmu adalah sebuah filem pendek terbitan Lumatic Films dan ianya hasil arahan dari pengarah Nik Amir Mustapha yang merupakan pengarah bagi filem Terbaik Dari Langit.
Ia dihasilkan khas untuk pihak 100Plus sempena bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Sinonim sebagai minuman isotonik yang digunakan oleh altet dari pelbagai sukan, Aktifkan Ramadanmu menggabungkan elemen Ramadan dengan sukan bola sepak.
Menjadikan kisah benar pemain Perak iaitu Ahmad Khairil Anuar atau Beto sebagai jalan cerita, ia menceritakan mengenai perjalanan Beto yang ingin menjadi pemain bola sepak sejak kecil.
Berasal dari keluarga yang ibunya merupakan peniaga sate, Beto berhadapan dengan pelbagai kesukaran dalam akademik, bola sepak dan ejekan dari kawan-kawan.
Beto sering mendapat keputusan pelajaran yang tidak berapa baik, tidak dapat beraksi cemerlang ketika beraksi di tengah padang dan malah beliau juga perlu berhadapan dengan ejekan rakan-rakan terhadap perkerjaan ibunya!
Nilai Ramadan
Seperti yang dikatakan di awal artikel, Ramadan dan bola sepak seakan tidak punya kaitan tetapi hakikatnya ada!
Aktifkan Ramadanmu berjaya memberikan mesej dan nilai-nilai Ramadan yang boleh kita terapkan dalam kehidupan kita.
Contohnya adalah kita janganlah jadikan Ramadan sebagai bulan untuk kita bermalas-malas dan juga letih.
Berpuasa bukanlah tiket untuk kita untuk tidak kekal bertenaga dalam menjalani kehidupan seharian, jadi walaupun berpuasa kita haruslah bertenaga dalam menyelesaikan tugasan sehari-hari kita.
Satu lagi nilai utama dalam filem pendek ini adalah nilai usaha.
Dalam apa jua yang kita lakukan, haruslah disalut dengan usaha yang tinggi supaya kita berjaya perolehnya.
Nilai usaha ini boleh dilihat menerusi kerajinan ibu Beto menjual sate dengan gigih walaupun ketika bulan Ramadan.
Ia membuatkan Beto bermonolog sendirian tertanya, macam mana ibunya boleh buat begitu?
Monolog dalaman Beto itu dijawab oleh ibunya ketika sahur.
“Beto, dalam hidup ni banyak cabaran. Kalau kita nak berjaya kita kena cekal.”
Kesimpulan
Aktifkan Ramadanmu ini memberikan sedikit kelainan dari iklan-iklan Ramadan yang lain.
Hal ini kerana ia menggunakan elemen sukan yang merupakan satu perkara yang agak jarang digunakan dalam filem, drama atau filem pendek dalam industri kita.
Ditambah pula ia merupakan dari kisah benar dari pemain bola sepak negara, ia memberikan lebih sebab untuk kita mengenali latar belakang pemain kita.
Secara keseluruhannya filem pendek ini tidak terlalu kompleks dan penceritaannya mudah. Jadi ia merupakan filem pendek yang sesuai untuk ditonton oleh segenap lapisan umur.
Rating keseluruhan: 4/5