Sebelum ini sudah ramai yang tidak begitu suka dengan bola Mitre. Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Mitre telah memperbaiki kualiti bola mereka.
Mitre adalah bola yang dihasilkan oleh syarikat alatan sukan, Mitre Sports International Ltd yang diasaskan di Huddersfield England pada 1817, kira kira 200 tahun yang lalu.
Mitre sudah menjadi bola rasmi dalam beberapa pertandingan domestik di England. Di peringkat antarabangsa, kualiti Mitre masih belum meyakinkan untuk pertandingan seperti Euro dan Piala Dunia yang sudah lama dikuasai Nike dan Adidas.
Dalam 5 liga utama Eropah, boleh dikatakan hanya England yang menggunakan Mitre sebagai bola rasmi dalam piala domestik.
Dalam aksi Piala Liga / Piala Carabao awal pagi tadi, Manchester City buat pertama kalinya gagal menjaringkan gol selepas 17 perlawanan sejak April lalu menentang Manchester United.
Wolves menjadi pasukan pertama yang menghalang City daripada menjaringkan gol dalam tempoh tersebut. Sejak April 2017, Manchester City telah menjaringkan 57 gol ataupun 3.35 gol per perlawanan.
Claudio Bravo menjadi tumpuan apabila menyelamatkan 3 penalti di dalam penentuan sepakan penalti. Di media sosial, nama Bravo menjadi sebutan peminat City yang kagum dengan kualiti penjaga gol tersebut.
Namun begitu, di sidang media selepas perlawanan, Pep Guardiola telah mengkritik kualiti bola yang digunakan dalam Piala Liga kali ini. Beliau berkata:
“Kualiti bola itu sukar diterima untuk perlawanan peringkat tinggi seperti ini. Bola terlalu ringan. Bola itu teruk. Sukar sekali menjaringkan gol dengan bola seperti itu.”
“Saya sebut benda ni sebab pasukan saya menang, jika kalah saya tidak akan menyebut benda ni sebab ia ibarat mencari alasan kenapa kami kalah.”
“Semua pemain saya berpendapat yang sama, ‘bola apa ni?’. Minta maaflah, ini Piala Carabao tetapi bola itu bukan bolah yang ‘serius’ untuk pertandingan seperti ini.”
Pep Guardiola turut berterima kasih kepada Claudio Bravo.
“Tanpa Claudio, kami tidak akan mara ke pusingan seterusnya. Saya berkongsi kegembiraan untuk beliau kerana saya tahu dia berhadapan masa yang mencabar. Aksi menyelamat beliau membantu kami ke pusingan seterusnya.”