Walaupun rekod perlawanan lampau tidak boleh memberi gambaran apa yang bakal berlaku berdepan Bahrain, namun ia mampu memberikan bekalan keyakinan apa sahaja boleh berlaku jika Harimau Malaya beraksi baik.
Ya, sudah lebih empat dekad sejak kali terakhir Malaysia menewaskan Bahrain dalam aksi kompetitif iaitu pada tahun 1978. Namun, ada rekod lain yang mungkin boleh memberi suntikan semangat buat barisan pemain.
Menang adalah bonus tetapi Malaysia perlu meraih sekurang-kurangnya satu mata. Seperti yang ditekankan oleh pengendali, Kim Pan-gon dalam sidang media pra-perlawanan yang mata adalah penting buat mereka.
🎙 Dengar apa kata ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon dan ketua jurulatih Bahrain, Helio Sousa pada sidang media menjelang aksi kedua Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023, malam esok.
Video penuh di https://t.co/aHgVtEOAtb#FAM #HarimauMalaya #ACQ2023 pic.twitter.com/MNskvQFEfu
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 10, 2022
“Mendapatkan mata adalah penting buat kami. Satu atau tiga mata, janji ia mata. Sukar untuk berbicara tentang pendekatan tetapi kami akan guna strategi taktikal untuk dapatkan mata. Ini yang penting.”
Kim Pan-gon, sidang media pra-perlawanan Malaysia-Bahrain
Bahrain bukanlah lawan yang asing seperti Turkmenistan. Kedua-dua pasukan sudah banyak kali bertemu di pelbagai aksi kompetitif seperti kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia. Jadi, ia bukanlah satu hal yang misteri.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada tahun lalu untuk aksi persahabatan yang menyaksikan skuad negara tumbang 0-2 di Riffa, Bahrain. Oleh itu, Bahrain bukanlah pasukan yang terlampau asing untuk dikaji. Malah, mereka masih di bawah kendalian pengendali yang sama yang menewaskan Malaysia ketika itu.
Apa yang penting adalah Kim memiliki pendekatan taktikal yang ampuh untuk lumpuhkan Pahlawan Dilmun.
Kim Pan-gon Sedang Persiapkan ‘Senjata’ Lain Berdepan Bahrain?
Rekod apa yang mampu beri suntikan motivasi buat para pemain Harimau Malaya menjelang aksi esok malam?
Sejak tahun 2003, pertemuan kedua-dua pasukan di Malaysia menyaksikan lawan tidak pulang tersenyum lebar.
Tiga pertembungan di kandang Harimau Malaya menyaksikan keputusan seri dilakar – aspek yang boleh bantu skuad negara kembali berkeyakinan. Skuad kali ini dikatakan antara yang terbaik, jadi tiada yang mustahil.
Pada 2003, dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2004, Malaysia mengikat Bahrain dengan keputusan 2-2 di Stadium Bukit Jalil yang mana Shukor Adan dan Norhafiz Zamani Misbah meledak jaringan buat skuad negara.
Pada 2007, kedua-dua pasukan bertembung lagi. Kali ini dalam pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2010. Kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan dan kali ini bermain di Stadium Shah Alam.
Kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi pada tahun 2013 dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2015 yang menyaksikan skuad negara mengikat lawan dengan keputusan seri 1-1 – hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha.
Adakah rekod Harimau Malaya di halaman sendiri bertemu Bahrain ini mampu memberi suntikan semangat?
Bagaimana aksi malam esok? Satu lagi keputusan seri atau kita mampu kejutkan pasukan di ranking ke-89 dunia? Dibantu dengan sorakan padu penyokong seperti yang ditagih Kim, kita pasti mampu kejutkan mereka!
FOTO: FAM