Siapa yang tidak mengenali Merzagua Abderrazak, wira import Pulau Pinang sekitar era 90an. Namanya hingga kini masih bermain dibibir para penyokong setia Harimau Kumbang.
Membantu Pulau Pinang menjuarai beberapa kejuaraan ketika era kegemilangannya dan membawa Pulau Pinang menjadi Juara Liga FAM tahun 2013, membuatkan nama lelaki dari Maghribi itu disayangi ramai malah diangkat sebagai lagenda bolasepak negeri tersebut.
Kini, di era moden hadir pula seorang lagi pemain import baru dari Brazil yang telah mencetus satu fenomena.
Digelar “The Tanker” dalam kalangan peminat, Reinaldo Lobo tidak seperti pemain-pemain import sebelum ini. Kehadirannya telah membawa impak mendalam buat arena bolasepak negeri Pulau Pinang.
Meskipun tidak berjaya membantu Pulau Pinang memperoleh sebarang trofi kejuaraan ketika bersama berbanding seperti di era Merzagua, tetapi jasa dan pengorbanan pemain kelahiran Brazil itu mampu membuatkan hati setiap pencinta bolasepak negeri itu terpahat akan namanya dan terus diingati buat selama-lamanya.
Siapa Reinaldo Rodrigues de Oliveira Lobo
Reinaldo Rodriques de Oliveira Lobo atau lebih dikenali Lobo merupakan seorang pemain pertahanan berasal dari Brazil.
Beliau dilahirkan pada 5 April 1988 di Cataguases, iaitu sebuah kota di daerah Minas Gerais, Brazil.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang pemain bolasepak profesional ketika berusia 20 tahun bersama Figueirense Futebol Clube pada tahun 2006.
Bakatnya terus mendapat perhatian beberapa kelab di sekitar Minas Gerais, seperti Itaúna dan Contagem.
Ketika usianya 23 tahun, Lobo berhijrah ke Portugal untuk beraksi bersama Pacos de Ferreira dan Oliveirense.
Selepas menimba pengalaman beraksi di Liga Portugal, beliau kembali semula pulang ke negara asalnya untuk bermain bersama kelab Grêmio Novorizontino.
Pada 2014, Lobo telah behijrah jauh ke rantau asia setelah dilamar Mitra Kukar, sebuah pasukan dari Liga Indonesia.
Selepas berkhidmat selama setahun di Mitra Kukar, Reinaldo Lobo berhijrah pula ke sebuah lagi negara Asia Tenggara iaitu Malaysia. Pada penghujung tahun 2014, Lobo telah behijrah ke Malaysia dan menandatangani kontrak untuk menyertai pasukan Pulau Pinang bagi musim 2015 bersama rakan senegaranya ketika itu, Hilton Moriera dan Beto Goncalves.
Kehadiran Lobo di Pulau Pinang
Pada awalnya, berita pembelian Reinaldo Lobo kurang mendapat keyakinan dari para penyokong. Hal ini berikutan penyokong masih terkesan akan kegagalan beberapa pemain import yang dibawa masuk sebelum ini oleh Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang(FAP).
Reinaldo Lobo dibawa masuk oleh persatuan dengan rekod perpindahan secara percuma dari Mitra Kukar ketika jendela perpindahan penghujung tahun 2014.
Namun selepas hampir 3 musim bersama Pulau Pinang, Lobo telah berjaya membuktikan bahawa tindakan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang(FAP) membawa masuk beliau tidak silap, lebih membanggakan beliau kini turut dilabelkan sebagai “New Legend” dalam kalangan penyokong.
Lobo ‘The Tanker’ !
Penyokong Pulau Pinang menggelarkan Lobo sebagai ‘The Tanker’ berikutan penampilannya diatas padang seperti kereta kebal.
Memiliki kekuatan fizikal luar biasa yang sukar untuk ditumbangkan pemain lawan membuatkan pemain itu layak menerima jolokan tersebut.
Sejak menyertai Pulau Pinang, Lobo sering diletakkan sebagai sweeper atau libero yang juga berperanan sebagai seorang last men.
Di posisi bek tengah, beliau sering kelihatan bermain corak tipikal ‘ball playing defender’, menjana gerakan dan hantaran serta membantu serangan hadapan pasukan.
Hal ini membuatkan pemain yang memiliki ketingian 1.86m ini, telah berjaya menjaringkan 14 gol dalam 78 penampilan dalam semua pertandingan Liga Malaysia termasuk persahabatan dan pra-musim untuk Pulau Pinang sejak 2015-2017.
Bantu Pulau Pinang raih naib juara Liga Perdana 2015
Pada awal kehadirannya di Pulau Pinang, Lobo menyarung jersi nombor 30 dalam beberapa pelawanan pra-musim. Bermulanya Liga Malaysia, pengurusan memberikan Lobo nombor 4 yang pernah dipakai oleh Nordin Kamis bekas pemain Pulau Pinang.
Bagi menghadapai cabaran Liga Perdana 2015, Pulau Pinang diperkuatkan dengan beberapa tonggak tempatan dan import baru seperti Reinaldo Lobo, Lee Gil-Hoon, Alberto Goncalves, Hilton Moreira, Faiz Subri, Sani Anuar Kamsani, Azrul Ahmad, Mafry Balang dan Mazlizam Mohamad.
Dikendalikan oleh Jacksen F. Tiago, ketika itu Pulau Pinang merupakan pasukan yang sukar ditewaskan dalam saingan Liga Perdana dan Piala FA.
Antara kejayaan paling membanggakan, berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA dan sekaligus menamatkan kemarau selama 13 tahun pasukan tersebut.
Reinaldo Lobo telah berjaya mempamerkan prestasi yang cemerlang sehingga berjaya membantu pertahanan Pulau Pinang dari kurang dibolosi.
Dalam saingan Liga Perdana 2015, Pulau Pinang hanya mencatakan rekod 18 jaringan yang dibolosi berbanding Kedah sebanyak 26 jaringan yang juga merupakan selaku juara Liga Perdana ketika itu.
Ini membuatkan Pulau Pinang merupakan satu-satunya pasukan dalam saingan yang telah mencatatkan rekod terendah jaringan dibolosi pada musim tersebut.
Dengan berjaya mengumpul 45 mata, Pulau Pinang mengiringi Kedah ke saingan Liga Super 2016. Sekaligus meletakkan dua pasukan utara ini kembali ke cabaran tertinggi Liga Malaysia selepas mengalami kejatuhan sejak 7 tahun.
Prestasi cemerlang Reinaldo Lobo pada musim 2015 telah berjaya mendapat keyakinan pengurusan dan mencuri hati peminat Pulau Pinang dan rata-rata penyokong ketika itu sudah mula menjadikan beliau sebagai pemain kegemaran dalam pasukan.
Perjalanan berliku Pulau Pinang 2016 dan tangisan seorang wira
Musim 2016 merupakan musim suka duka perjalanan karier yang paling tidak dapat dilupakan buat pemain kelahiran Brazil ini.
Tampil buat kali pertama ke Liga Super, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang(FAP) telah mendapat tajaan hampir sejumlah 19 juta bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk saingan peringkat tertinggi Liga Malaysia.
Pulau Pinang telah membawa masuk beberapa muka baru import dan juga tempatan seperti, Matias Cordoba, Brent Griffiths, Jose Tadeu, Osas Saha, Fitri Omar, S. Kumaahran, Syamer Kutty Abba dan ramai lagi.
Hasrat Jacksen F. Tiago untuk kekal bersama Pulau Pinang bagi membawa pasukan itu menghadapai cabaran Liga super 2016 tidak bertahan lama.
Jurulatih dari Brazil itu pada awalnya sudah mula menerima pelbagai kritikan dan tomahan berikutan pemilihan Jose Tadeu selaku import baru pasukan. Mempamerkan aksi pra-musim yang mengecewakan, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang(FAP) membuat keputusan mengugurkan Jose Tadeu dan mengantikan Osas Saha.
Pada perlawanan pertama liga, Pulau Pinang berjaya menewaskan Pahang 4-1 di Stadium Bandaraya. Menentang Pahang, Reinaldo Lobo disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan. Lebih manis lagi, dalam perlawanan itu juga tercipta satu jaringan bersejarah yang mengangkat nama rakan pasukannya, Faiz Subri memenangi anugerah Puskas.
Selepas pada itu, nasib Pulau Pinang ibarat terkena sumpahan. Pulau Pinang gagal mencatat sebarang kemenangan. Oleh itu, Jacksen F. Tiago telah direhatkan dan pasukan telah diambil alih oleh pembantunya ketika itu, Manzoor Azwira sebelum hadirnya Nenad Bacina dan Bojan Hodak dalam pasukan.
Kehadiran Nenad Bacina dan Bojan Hodak telah membawa nafas baru sementara buat pasukan yang ketika itu berada dalam keadaan terumbang ambing. Mereka telah melakukan rombakan dan membawa masuk beberapa muka baru seperti Jeong Seok-Min dan Ranti Martin.
Walaupun Osas Saha dan Brent Griffiths digugurkan daripada pasukan, Reinaldo Lobo dan seorang lagi pemain import iaitu Matias Cordoba masih lagi mendapat kepercayaan. Mereka dikekalkan sehingga akhir musim 2016.
Meskipun kehadiran muka-muka baru dalam pasukan, ianya tetap tidak mampu membawa pasukan itu keluar dari zon penyingkiran. Perjalanan yang berliku skuad Harimau Kumbang dalam Liga Super 2016 meletakkan pasukan itu berada ditangga tercorot pasukan bersama-sama Terengganu yang berkongsi mata.
Sama ada kekal atau tidak, nasib Pulau Pinang akan ditentukan dalam perlawanan terakhir mereka menentang Terengganu di Stadium Bandaraya.
Reinaldo Lobo ketika itu terus diberi tanggunjawab mengetuai bahagian pertahanan pasukan bersama Marfy Balang, Rafiuddin Roddin dan Mazlizam Mohd.
Asakan demi asakan dilakukan sepanjang perlawanan melalui bahagian serangan Terengganu tetapi berjaya dipatahkan benteng pertahanan pasukan.
Pada minit-minit akhir, Reinaldo Lobo diarahkan oleh Nenad untuk membantu bahagian serangan pasukan. Akhirnya Pulau Pinang berjaya mencetak gol hasil jaringan Faizat Ghazali untuk menang 1-0 dan kekal di Liga super 2017.
Selepas tamat perlawanan, Stadium Bandaraya ibarat meraikan satu pesta keramaian. Penyokong-penyokong Pulau Pinang masuk ke dalam padang menyerbu para pemain bagi meraikan kejayaan kekal di Liga Super.
Turut bergema laugan nama “Lobo” berulang kali. Beliau diangkat sebagai wira Harimau Kumbang oleh para penyokong. Lobo juga turut kelihatan menitiskan air mata selepas tiupan wisel penamat.
Bagi penyokong Pulau Pinang, mereka berpendapat Reinaldo Lobo merupakan tulang belakang pasukan sepanjang musim sehingga perlawanan akhir pada malam tersebut.
Provokasi Alex Buat Lobo
Sebelum tamatnya cabaran Liga Super, Bolasepak Malaysia dikejutkan dengan adegan provokasi yang dilakukan oleh pemain bolasepak Johor Darul Takzim (JDT) ketika itu, Azamuddin Akil.
Dalam satu perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Azamuddin atau lebih dikenali Alex telah melakukan tindakan provokasi dengan mengejek Lobo.
Ini berikutan tindakan Lobo yang sengaja berpura-pura cedera untuk melanjutkan masa perlawanan membuatkan pemain tengah Johor itu berang sehingga beliau melakukan mimik muka serta gaya mengejek pemain dari Brazil itu.
Tindakan yang kurang profesional itu telah mendapat kencaman hebat dan dihujani cacian dilaman-laman sosial oleh peminat bolasepak Malaysia.
Walau bagaimanapun, Alex telah menghubungi Lobo dan memohon maaf kepadanya di atas sikapnya yang keterlaluan diatas padang.
Dikekalkan bagi musim 2017
Selepas beraksi cemerlang sepanjang 2 musim bersama Pulau Pinang, tahun 2017 menjadi ‘kisah hitam’ bagi karier beliau sepanjang bersama Pulau Pinang.
Ketika jendela perpindahan sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia, pasukan Pulau Pinang dilanda dengan pelbagai kontroversi yang melibatkan pemain dan pihak pengurusan.
Ditambah dengan perletakan jawatan presiden, Datuk Seri Nazir Ariff mengeruhkan lagi keadaan hingga membuat persatuan itu seperti tidak ada arah tuju dan menjadi pasukan belasahan dalam kempen Liga Super 2017.
Bagi Lobo, beliau juga turut tidak terlepas menerima pelbagai gosip mengenai statusnya bersama Pulau Pinang selepas rakan sepasukannya musim 2016, Matias Cordoba dilepaskan ke kelab Barito Putera.
Kedengaran juga khabar angin media pada awalnya Lobo turut berada dalam senarai pemain yang akan dilepaskan dari kem Pulau Pinang.
Namun segalanya sudah kembali tenang selepas pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) menafikan hal tersebut dan Lobo masih diberi kepercayaan disambungkan kontraknya sehingga penghujung tahun 2017.
Kecederaan Otot Lobo Menghantui Kem Pulau Pinang
Meskipun diberi peluang beraksi dalam kempen Liga Super 2017, beliau yang berusia 29 tahun terpaksa disisihkan pada pertengahan musim ekoran kecerderaan bahagian otot ketika perlawanan menentang Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Batu Kawan.
Keadaan itu memaksanya untuk berehat selama beberapa bulan.
Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang(FAP) membuat keputusan membawa masuk Brandon McDonald dari Chainat Hornbill FC bagi mengantikan kekosongan yang ditinggalkan Reinaldo Lobo.
RAKYAT PULAU PINANG DAN LOBO BERPISAH TIADA
Tersingkir ke Liga Perdana sudah semestinya memberi impak yang sangat perit bagi pencinta bolasepak di negeri yang digelar “Pearl Of Island’ itu.
Bagai terjatuh ditimpa tangga. Situasi bertambah perit lagi apabila beberapa tonggak utama mereka seperti Syamer Kutty Abba, Jafri Firdaus Chew dan Rafiuddin Roddin turut mengangkat kaki keluar dari negeri Pulau Pinang.
Reinaldo Lobo juga turut meninggalkan pasukan itu.
Sebelum ini, dalam satu temubual bersama Berita Harian, Lobo ada memaklumkan bahawa dirinya mahu setia bersama pasukan itu dan menyayangi negeri Pulau Pinang sama ada bola, bandar mahupun penduduknya.
Beliau juga sempat memaklumkan, jika diberi peluang dirinya mahu kekal bermain bersama pasukan ini selama mungkin.
“Jika diberi pilihan, saya mahu kekal di sini bersama pasukan, tapi ternyata Pulau Pinang sudah tidak memerlukan khidmat saya lagi” ujarnya dalam satu temubual bersama Berita Harian.
Kehidupan Reinaldo Lobo bersama masyarakat di Pulau Pinang tidak dapat pisahkan. Lobo sering dijemput menghadiri majlis keramaian bersama, dan tidak itu sahaja, kadang kala beliau juga turut kelihatan meluangkan masanya bersama penyokong dengan pelbagai aktiviti seperti BBQ, futsal dan bermain paintball.
Baru-baru ini musibah banjir yang berlaku di Pulau Pinang turut mendapat perhatian dari beliau. Beliau turut bersama-sama rakyat di Pulau Pinang hadir membantu dan menziarahi mangsa-mangsa banjir di Kampung Melayu, Air Hitam .
RUMUSAN
Pemain tu sah akan meninggalkan pasukan Harimau Kumbang pada musim depan selepas kontraknya bersama pasukan tamat pada 30 November 2017 yang lalu.
Sebelum ini, Reinaldo Lobo juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pemergiannya di laman Facebook miliknya baru-baru.
Dengan pengumuman itu maka tamatlah era “The Tanker” dalam arena bolasepak Pulau Pinang.