Kecederaan buku lali yang dialami Cristiano Ronaldo ketika pertembungan El Clasico tempohari memaksa penyerang kelahiran Portugal itu dikeluarkan pada permulaan babak kedua.
Keadaan itu juga sekaligus menimbulkan kerisauan dalam kalangan penyokong Los Blancos menjelang pertemuan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Liverpool penghujung bulan nanti.
Menurut laporan dari Goal, Real Madrid yakin sandaran itu bagi mencetak jaringan buat kelab itu akan beraksi pada perlawanan akhir UCL.
Juara 12 kali saingan berprestij Eropah itu juga tidak menolak kemungkinan beliau turut akan beraksi dalam baki perlawanan dalam aksi La Liga.
Goal turut melaporkan bahawa ujian yang dilakukan terhadap Cristiano Ronaldo menunjukkan perkembangan yang positif selepas memulakan latihan pemulihan pada hari Isnin di padang latihan pasukan.
Bagaimanapun di sebalik perkembangan baik itu, Ronaldo mungkin bakal terlepas dua aksi La Liga bertemu Sevilla serta Celta Vigo dan dijangka akan kembali bersama pasukan pada perlawanan terakhir bertemu Villareal.
Kemuncaknya, Cristiano Ronaldo akan mengetuai jentera serangan Real Madrid pada pertembungan akhir di Kiev untuk berdepan Liverpool dalam usaha mencari gelaran ke-13 sekaligus merakamkan rekod kejuaraan ketiga berturut-turut.
Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane sebelum ini menegaskan bahawa kecederaan yang dialami Ronaldo tidak serius dan tiada kerisauan menjelang pertembungan akhir bertemu Liverpool.
Dalam perkembangan lain, keadaan yang menghantui Ronaldo ketika ini membayangkan peluangnya untuk mengejar Lionel Messi sebagai penjaring terbanyak La Liga kian pudar.
Ronaldo setakat ini telah mencipta 25 jaringan, ketinggalan lapan gol berbanding Messi yang sudah menjaringkan 33 gol.