Cristiano Ronaldo dilaporkan mempunyai klausa perpindahan bernilai €1 billion untuk meninggalkan Estadio Santiago Barnebeu.
Mengandaikan tiada perubahan kepada keputusan oleh Cristiano Ronaldo untuk meninggalkan Sepanyol pada musim panas ini, agak sukar untuk melihat mana-mana kelab di seluruh pelusuk dunia untuk memenuhi klausa tersebut.
Menyedari hakikat itu, media di Sepanyol melaporkan Real Madrid telah menetapkan harga yang lebih rendah untuk memungkinkan pembelian pemain terbaik dunia itu daripada mereka.
Kini kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat Ronaldo perlu membayar jumlah €400 juta.
Ia masih satu angka yang sangat tinggi memandangkan ia bersamaan dengan 4 kali yuran membabitkan pembelian Paul Pogba ke Manchester United pada musim panas lalu.
Nilai €1 billion ditetapkan pada tahun 2009 untuk mengelakkan mana-mana kelab daripada cuba untuk memancing kapten pasukan Portugal itu.
Bagaimanapun nilai itu sentiasa boleh diubah mengikut budi bicara kelab dan rundingan jika ada pihak yang benar-benar berminat untuk mendapatkan penyerang itu.
Di sebalik kemelut yang berkisar kepada pembayaran cukai di antara Cristiano Ronaldo dan agensi cukai di Sepanyol, pihak pengurusan di Estadio Santiago Bernabeu masih tenang.
Mereka dijangka akan berbincang dengan Ronaldo berkenaan isu ini selepas pemain itu kembali dari Kejohanan Piala Konfederasi yang baru bermula di Rusia malam tadi.
Di sebalik laporan harga €400 juta yang diumumkan, media di Sepanyol percaya Real Madrid akan merelakan pemergian Cristiano Ronaldo jika ada tawaran sekitar €200 juta ditawarkan.
Manchester United dan Paris Saint-Germain dilaporkan sebagai kelab yang mampu untuk membida sebanyak itu selain daripada pasukan di Liga Super China.
Bagaimanapun Ronaldo dilaporkan tidak berminat untuk ke Asia buat masa ini.
Sebagai tambahan, Real Madrid boleh menjimatkan sejumlah €200 juta daripada penjualan pemain tersebut mengambil kira gaji Ronaldo yang menjangkau €50 juta setahun.
Cristiano Ronaldo menandatangani lanjutan kontrak sehingga 2021 pada tahun lepas.
Penjualan Ronaldo bermakna Real Madrid boleh mendapat keuntungan berjumlah €400 juta, jumlah terbesar dalam sejarah bola sepak dunia.
Bagaimanapun penjualan Cristiano Ronaldo bermakna Real Madrid akan kehilangan kuasa pemasaran yang dibawa oleh pemain tersebut sejak berpindah ke Madrid pada tahun 2009.
Sumber:
1. JUAN IGNACIO GARCÍA-OCHOA, MARCA (2017): Cristiano Ronaldo’s sale would earn Real Madrid 400 million euros;
http://www.marca.com/en/football/real-madrid/2017/06/17/5944441a268e3e65438b4628.html